SEOUL – Korea Selatan menyatakan hari ini bahawa ia telah mula menanggalkan pembesar suara yang digunakan untuk melaungkan muzik K-Pop dan laporan berita ke arah Korea Utara, ketika pentadbiran baharu di Seoul cuba meredakan ketegangan dengan negara jirannya itu.
Dua negara itu secara teknikal masih berperang, namun Korea Selatan membuat keputusan menghentikan siaran propaganda di sepanjang zon demilitarisasi, kata tentera Seoul pada Jun lalu selepas pemilihan Presiden Lee Jae-myung.
Katanya ketika itu, Pyongyang telah berhenti menghantar bunyi aneh dan mengganggu di sepanjang sempadan yang menjadi gangguan utama bagi penduduk tempatan Korea Selatan, sehari selepas pembesar suara dihentikan.
“Mulai hari ini, tentera telah mula menanggalkan pembesar suara,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Lee Kyung-ho kepada pemberita.
“Ia adalah langkah praktikal yang bertujuan membantu meredakan ketegangan dengan Korea Utara, dengan syarat tindakan sedemikian tidak menjejaskan keadaan kesediaan tentera,” tambahnya.
Kata Kyung-ho, semua pembesar suara yang dipasang di sepanjang sempadan akan dibongkar pada akhir minggu ini, tetapi tidak mendedahkan bilangan tepat yang akan dialih keluar.
Jae-myung mengarahkan tentera menghentikan siaran dalam usaha beliau untuk memulihkan kepercayaan serta hubungan antara dua negara itu selepas dipilih menjadi Presiden pada Jun lepas.
Kerajaan terdahulu memulakan siaran propaganda tahun lalu sebagai tindak balas kepada belon berisi sampah yang diterbangkan ke Korea Selatan oleh Pyongyang.
Sementara itu, Korea Utara menolak untuk meneruskan dialog dengan seterunya itu meskipun Seoul membuat tawaran diplomatik.
“Jika Korea Selatan menjangkakan bahawa ia boleh membalikkan semua keputusan yang dibuatnya dengan beberapa pendekatan sentimental, ia salah,” kata adik pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Yo-jong. – AFP