KUALA LUMPUR – Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja yang tercetus sejak Mei lalu bukan hanya menjejaskan hubungan dua negara berkenaan, tetapi menjejaskan nama baik ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegangan yang berlaku tidak mencerminkan ASEAN yang diwar-warkan sebagai antara rantau paling aman dan pertumbuhan ekonomi paling rancak di dunia.
“Jadi semua masalah ini harus cuba diselesaikan secara muafakat dan setakat ini, kita ucap terima kasih kepada kedua-dua kerajaan Kemboja dan Thailand yang nampak sangat positif untuk mencapai penyelesaian muktamad,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai peranan Malaysia dalam usaha menjayakan rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Terdahulu, Anwar memaklumkan, ketua-ketua tentera Thailand dan Kemboja mengadakan rundingan di Malaysia hari ini yang diselaraskan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia bagi mencari kata putus.
Katanya, usaha penyelesaian tersebut merupakan inisiatif Malaysia yang didokong sepenuhnya oleh ASEAN, manakala Amerika Syarikat (AS) dan China hanya hadir sebagai pemerhati.
“Saya telah menghubungi semua Perdana Menteri, Presiden dan kebawah Duli Tuanku Sultan Brunei, memohon mandat dan memberi dukungan.
“Kesemua mereka bersetuju memutuskan Atase Pertahanan mereka untuk terus memantau dan dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, Atase Pertahanan Malaysia yang menyelaraskan bersama antara Atase Pertahanan ASEAN,” katanya.
Justeru, katanya, Malaysia berharap Thailand dan Kemboja akan mencapai penyelesaian muktamad sekurang-kurangnya untuk menghentikan atau meneruskan gencatan senjata dan tiada lagi pelanggaran di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian. – KOSMO! ONLINE