Kesuma, KPM anjur ‘AI for Educators’

14 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan melaksanakan program ‘AI For Educators’ bagi melatih hampir 400,000 pendidik di seluruh negara.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) bertujuan untuk melatih pendidik-pendidik tersebut dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk pembelajaran.

Katanya, langkah itu juga bagi menambah baik teknik, kemahiran serta isu-isu termasuk etika agar guru-guru menjadi barisan hadapan sektor pembangunan modal insan yang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk berdepan cabaran era AI.

“Ini mencerminkan bukan sahaja komitmen Kesuma, malah komitmen Kerajaan Madani untuk memastikan guru kita sebagai barisan hadapan dapat dibekalkan dengan kemahiran yang tercanggih bagi melahirkan rakyat Malaysia yang mampu berdepan dengan cabaran ekonomi abad ke-21.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga rakan-rakan kita dari seluruh Asia kerana tahun ini Minggu Latihan Kebangsaan (NTW 2025) ini bukan sahaja menawarkan 21,000 kursus percuma kepada rakyat Malaysia malah kita buka kepada seluruh warga ASEAN di negara-negara tetangga kita sebagai komitmen Malaysia untuk membangunkan modal insan di rantau ini dan juga sebagai tekad kita sebagai pengurusi ASEAN pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Minggu Latihan Kebangsaan (NTW 2025) di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha Kesemua, Datuk Azman Mohd Yusof, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim.

Sementara itu, Steven berkata, penganjuran NTW 2025 juga diadakan pada skala yang lebih besar dengan penyertaan lebih dua juta peserta yang berminat menyertai 71,000 kursus-kursus latihan percuma di seluruh negara.

“NTW telah diadakan buat tahun yang ketiga pada tahun ini dengan skala yang lebih besar dan lebih hebat lagi.

“Tahun lepas, kita telah mencapai penyertaan lebih kurang 300,000 rakyat Malaysia dalam tempoh masa seminggu yang telah menyertai pelbagai kursus latihan kemahiran,” katanya.

Katanya, lebih 40 peratus daripada kursus-kursus tersebut merupakan kursus berkaitan dengan industri 4.0. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |