KAJANG – Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengembalikan kertas siasatan berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan penambahbaikan dan diperkemaskan pihak berkuasa berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menjelaskan bahawa tindakan ini adalah lumrah dalam proses siasatan, terutamanya bagi kes berprofil tinggi yang mendapat perhatian meluas masyarakat.
Saifuddin berkata, masyarakat perlu memahami proses tersebut dan tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian.
Katanya, apabila satu insiden berlaku, kertas siasatan akan dibuka oleh polis dan setelah selesai, ia akan diserahkan kepada Peguam Negara.
“Saya tidak mahu terperangkap dalam polemik kertas siasatan. Kita beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan mereka.
“Jika tidak, orang akan berkata kenapa terlalu lambat, bila siap pula akan dipersoalkan kenapa terlalu cepat, ada kelemahan, dan sebagainya. Justeru, kita hormatilah prosesnya terlebih dahulu,” katanya.
Saifuddin turut mengingatkan bahawa AGC perlu benar-benar yakin sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pendakwaan.
“Prosesnya adalah Peguam Negara akan meneliti kertas siasatan. Lazimnya, jika ada kecacatan, mereka akan mengembalikannya kepada polis untuk diperkemaskan.
“Peguam Negara mesti betul-betul yakin sebelum membuat keputusan meneruskan pendakwaan, terutama dalam kes yang mendapat liputan meluas dan menjadi tumpuan ramai,” katanya.
Menurut Saifuddin, kertas siasatan yang dihantar semula kepada PDRM itu turut membabitkan siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail, sebelum ini mengesahkan PDRM telah menyerahkan laporan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina kepada AGC.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan. – KOSMO! ONLINE