Kematian Zara Qairina: AGC teliti laporan penuh PDRM

2 hours ago 4

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu Allahyarham Zara Qairina.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan AGC sebentar tadi, proses penelitian itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan.

Ia yang mana bagi memastikan keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi setiap keadilan.

“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan lanjut menyatakan AGC turut menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan.

Terdahulu PDRM telah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir kepada AGC.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, ibu Zara membuat laporan polis di Balai Polis Sipitang selepas teringat melihat kesan lebam pada belakang anaknya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.

Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.

Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |