‘Karya paling kritikal, kalau gagal, ini filem terakhir saya’

14 hours ago 7

PETALING JAYA – Sutradara tersohor, Ahmad Idham menyifatkan Impak Maksima 2 sebagai karya penentu nasibnya dalam dunia pengarahan, malah mengakui bersedia berundur andai filem tersebut gagal di pawagam.

Menurut Idham atau nama sebenarnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, filem aksi tersebut bakal menjadi pertaruhan terbesar dalam kerjaya seninya sejak dua dekad lalu.

“Impak Maksima 2 adalah karya paling kritikal dalam hidup saya. Naskhah tersebut menjadi penentu hala tuju saya dalam industri seni selepas ini.

Kalau gagal (sambutan) saya tak yakin ada lagi pelabur yang sanggup beri peluang dan menunjukkan mungkin saya dah tak relevan.

“Dan kalau benar begitu, saya kena fikir kerjaya lain selepas ini, jadi filem ini lah menjadi penentunya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya soal kebimbangannya terhadap penerimaan penonton, Idham tidak berselindung mengakui hatinya resah namun reda jika perlu mengakhiri kerjaya sebagai pengarah.

“Tipulah kalau saya kata tak risau. Tapi jadi anak seni memang begitu. Hari ini disanjung, esok orang lupa.

Sebab itu saya selalu pesan kepada artis muda, dari hari pertama masuk industri, kena ada pelan jangka panjang,” ujarnya pada majlis menandatangani Memorandum Persefaham (MoU), Hextar World dengan 10Star Cinemas, di sini, semalam.

Mengambil contoh pengarah legenda, Datuk Yusof Haslam, pelakon Spanar Jaya itu berkata sehebat mana pun seseorang, tetap akan bertemu noktah pada satu ketika.

“Datuk Yusof pun akur untuk berhenti mengarah. Bezanya, dia ada anak-anak warisi bakat dia.

Berapa ramai yang bertuah macam dia? Saya pun kena bersikap realistik. Sehebat-hebat kita, ada titik akhir juga,” tegasnya.

Impak Maksima 2 dijangka menemui penonton dalam masa terdekat dan bakal menjadi taruhan utama pawagam baharu,10Star Cinemas di Hextar World Empire City. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |