KONGSILAH apa sahaja dalam media sosial asalkan jangan menyentuh sensitiviti negara, bangsa mahu pun agama yang boleh mengundang provokasi dan mempertikaikan kepercayaan kelompok lain.
Biarpun sudah diingatkan berulang kali, selain termaktubnya Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan bagi sebarang perlakuan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama, masih terdapat segelintir individu berani malang dangkal mempersoalkan hal sensitif.
Contoh terdekat adalah luahan model dan pelakon, Thanuja Ananthan yang mengakui emosinya terkesan melihat haiwan disembelih setiap kali musim Hari Raya Aidiladha.
Katanya dalam perkongsian di laman sosial, walaupun menghormati perayaan umat Islam yang harus mengorbankan kambing, lembu, kerbau atau unta, Miss World Malaysia 2009 itu berhenti menghabiskan masa di platform maya kerana tidak sanggup melihat haiwan disembelih.
“Setiap tahun bila tiba Aidiladha, saya rasa sangat sedih melihat lembu dan kambing disembelih. Kenapa perlu dibesarkan, kemudian disembelih? Saya tak boleh nak faham, walau macam mana saya cuba.
“Dah macam anak sendiri. Jadi macam haiwan peliharaan. Haiwan itu pun tak akan faham, sebab itu mereka menangis,” katanya yang meraih teguran ramai termasuk pendakwah bebas Firdaus Wong.

Firdaus Wong syak mental dementia
Secara sinis, Firdaus pula menyarankan Thanuja melakukan pemeriksaan kesihatan, terutama pada kepala kerana menyifatkan kenyataan wanita terbabit seperti penghidap
dementia iaitu lupa dengan perkara pernah dilakukan sebelum ini, termasuk menjamah makanan seperti ayam dan ikan.
“Melihat komentar Thanuja, saya bimbangkan kesihatan mentalnya dan menyarankan dia membuat pemeriksaan.
“Mungkin dia terlupa pernah berkongsi nasi beriyani ayam pada 2016. Iyalah, sudah hampir 10 tahun atau saudari terlupa tentang hidangan ikan salmon pada Februari 2025?” katanya dalam Instagram.
Pada masa sama, seorang lagi selebriti Datin Atikah Suhaime dilihat turut ‘sekepala’ dengan ratu cantik terbabit apabila mempersoal tindakan seseorang mengorbankan haiwan kesayangan, bersandarkan foto tular sebelum ini memaparkan seorang lelaki bersama lembu kesayangannya sebelum haiwan itu dikorbankan sempena Aidiladha.
“Saya tak faham, kalau sayang binatang itu, janganlah korbankan dia. Korbankan sahaja lembu atau kambing yang lain. Maaf mungkin ilmu saya tidak banyak tapi apa tujuan muat naik itu semua dan buat saya menangis sepanjang raya korban ini,” tulisnya.
Menyedari tindakannya diselar netizen lebih-lebih lagi sebagai umat Islam yang wajar memahami tujuan ibadah korban, pelakon terbabit memohon maaf secara terbuka.
Pemilik nama lengkap Nur Atikah Mohd. Suhaime, 34, itu meminta maaf atas kekhilafannya selain berkata, sebagai individu yang tidak mempunyai ramai kawan, dia menggunakan media sosial sebagai medium berkongsi pendapat dengan pengikut.
Tambahnya, dia akan lebih berwaspada membicarakan persoalan agama yang boleh mencetuskan isu lain.
“Apabila saya berkongsi pendapat dalam media sosial, boleh diolah semula pihak tertentu. Ada juga yang mengeluarkan kenyataan mengatakan saya mempersoalkan hal agama walhal saya tidak berkata apa-apa,” ujarnya.
Apa pun alasan, harapnya semua individu tidak kira bangsa dan agama sentiasa berfikir dengan lebih rasional sebelum mempersoalkan isu membabitkan keharmonian agama.
Jadikanlah insiden ini sebagai pengajaran, tidak kira anda berstatus selebriti mahupun bukan daripada bidang glamor.
Pada masa sama, jangan mudah menuding jari mempersalahkan pihak lain atas hantaran yang anda sendiri kongsikan. Jangan ‘menjemput’, kalau tak sedia hadap kecaman netizen.