Jaguh olahraga dakwa terima ugutan

20 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Jaguh lempar cakera negara, Irfan Shamsuddin tampil membuat pendedahan mengejut apabila mendakwa menjadi mangsa ugutan, tekanan emosi dan campur tangan daripada pegawai tertinggi Olahraga Malaysia (MA).

Dalam sidang akhbar khas yang diadakan sebentar tadi, Irfan secara terbuka mendakwa Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa pegawai tertinggi badan induk itu menekan serta mengugutnya supaya mematuhi arahan tertentu.

“Saya bukan bercakap untuk diri saya sahaja, tetapi untuk semua atlet yang pernah didiamkan, dipinggirkan atau dipaksa tunduk kepada kuasa tertentu.

“Saya tahu maruah saya dan saya tahu beza antara yang betul dan salah. Saya bukan yes man. Enough is enough. Politik jangan campur dalam sukan,” tegasnya.

Irfan mendedahkan insiden berlaku antara 1 hingga 3 Jun sejurus selepas membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Olahraga Asia 2025 di Gumi, Korea Selatan. 

Katanya, tindakan mengucapkan terima kasih secara terbuka kepada jurulatih dan pegawai teknikal yang banyak membantu telah menimbulkan rasa tidak senang Presiden MA.

“Saya dihujani panggilan dan mesej berbaur arahan minta saya tarik balik penghargaan terhadap individu tertentu dan hanya sebut MA serta MSN. Kalau tak ikut, saya diberi amaran penyertaan saya dalam kejohanan akan datang mungkin digugurkan,” katanya.

Dalam masa sama, Irfan turut mempersoalkan hak atlet mencari dana sendiri untuk menyertai kejohanan antarabangsa selepas dimaklumkan meskipun ada penaja, MA tetap berkuasa menolak pendaftaran penyertaan.

“Siapa yang beri hak pada satu individu sahaja untuk tentukan masa depan saya sebagai atlet? Kalau bukan duit mereka, kenapa nak halang?” soalnya.

Irfan turut menyeru agar siapa sahaja yang akan menerajui Olahraga Malaysia (MA) selepas ini sama ada kekal atau baharu, wajib meletakkan kepentingan atlet melebihi agenda peribadi atau permainan kuasa. 

Katanya, sukan tidak seharusnya dijadikan medan politik, sebaliknya menjadi ruang selamat yang memartabatkan bakat dan pengorbanan atlet. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |