TEL AVIV – Perkhidmatan kecemasan Israel menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 34 orang cedera, termasuk seorang wanita dalam keadaan kritikal, selepas Iran melancarkan berpuluh-puluh peluru berpandu menyasarkan Israel.
“Petang ini (kelmarin), perkhidmatan kecemasan Magen David Adom menerima laporan mengenai mangsa serangan roket di kawasan metropolitan Gush Dan(Tel Aviv).
“Pasukan besar MDA segera dikerahkan. Mereka memberikan rawatan perubatan menyelamatkan nyawa dan memindahkan 34 orang yang cedera ke hospital,” kata MDA.
Perkhidmatan bomba Israel pula berkata, pasukannya sedang menangani beberapa insiden ‘utama’ akibat serangan peluru berpandu Iran, termasuk usaha menyelamatkan penghuni yang terperangkap di dalam bangunan tinggi.
“Anggota-anggota bomba sedang mengendalikan beberapa insiden utama, terutamanya di kawasan Gush Dan,” kata satu kenyataan sambil menambah, pasukan bomba sedang bekerja keras di beberapa bangunan tinggi untuk menyelamatkan individu yang terperangkap dan memadamkan api, serta bertindak balas terhadap dua lagi lokasi kemusnahan.
Rakaman AFP dari pusat bandar Tel Aviv menunjukkan api dan asap memenuhi ruang udara dari sebuah menara kondominium yang terbakar. Sebuah lubang besar terdapat pada bangunan itu.
Sementara itu, serangan Israel ke atas Iran membunuh seramai 78 orang, termasuk beberapa komander tentera tertinggi, dan mencederakan lebih 320 yang lain, kata duta republik Islam itu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kelmarin.
“Setakat ini, 78 orang termasuk pegawai kanan tentera, telah syahid dan lebih 320 lagi cedera. Kebanyakan daripada mereka (adalah) orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak,” kata Duta Iran ke PBB Amir Iravani kepada Majlis Keselamatan. – AFP