Hukum menyimpan abu haiwan peliharaan

23 hours ago 3

Baru-baru ini, saya terbaca berita mengenai teknologi terkini yang boleh membakar bangkai haiwan peliharaan dengan mudah. Saya ingin bertanya, adakah saya boleh melupuskan bangkai haiwan peliharaan dengan membakarnya, kemudian menyimpan abu tersebut untuk dijadikan kenangan?

JAWAPAN: Sebahagian individu kini berasa lebih selesa untuk menjalani kehidupan secara bersendirian dengan hanya memiliki haiwan peliharaan sebagai peneman. Hal ini menyebabkan sebahagian individu berasa sedih apabila haiwan peliharaan mereka menemui ajal.

Ini kemudian mendorong pemilik haiwan melakukan sesuatu bagi menyimpan kenangan bersama haiwan kesayangan mereka.

Berdasarkan persoalan di atas, secara umumnya perbuatan menyimpan abu mayat merupakan sebahagian daripada ritual, tradisi dan kepercayaan bagi masyarakat bukan Islam.

Sesetengah ajaran mempercayai bahawa jasad manusia hanyalah bersifat sementara. Roh daripada jasad yang telah mati kemudiannya akan menjalani kehidupan seterusnya dalam bentuk yang lain (reincarnation). Oleh itu, proses pembakaran mayat (cremation) bertujuan membebaskan roh si mati daripada jasad tersebut.

Secara asasnya, bangkai haiwan termasuk dalam kategori perkara yang diharamkan oleh syarak. Allah SWT berfirman: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).” (Surah al-Ma’idah: 3)

Berdasarkan perbincangan dalam fiqh Syafi’i, bangkai dari sudut syarak merujuk kepada haiwan yang mati tanpa melalui proses penyembelihan yang sah.

Antaranya termasuklah penyembelihan haiwan yang dilarang untuk dimakan, penyembelihan oleh kaum Majusi dan orang sedang berihram.

Oleh itu, status bangkai haiwan adalah najis dan hukum bermuamalah dengan sesuatu yang najis adalah haram. Bahkan, hukum abu daripada haiwan turut dinilai sebagai najis jika berasal daripada bangkai walaupun telah melalui proses pembakaran atau pelupusan hingga memusnahkan zatnya.

Menurut Imam al-Ramli, bangkai tetap tidak boleh disucikan walaupun melalui proses istihalah dan pelupusan hingga mengubah bentuk asalnya menjadi abu atau debu.

Selain itu, perbuatan menyimpan abu haiwan peliharaan juga menyerupai bentuk kepercayaan dan tradisi bagi agama-agama lain.

Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyerupai ritual dan syiar agama lain terutamanya kaum Yahudi dan Nasrani. Baginda SAW bersabda:

“Sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang menyerupai bentuk-bentuk perbuatan dalam agama selain daripada Islam, maka dia bukanlah tergolong dalam kalangan kami. Begitu juga dengan orang yang menyerupai kaum

Yahudi dan Nasrani. Sesungguhnya isyarat salam bagi orang Yahudi adalah dengan menunjukkan jari, manakala isyarat salam bagi orang Nasrani pula adalah dengan melambai tangan.” (Riwayat Tirmizi: 2695)

Oleh yang demikian, menjauhi perbuatan menyimpan abu haiwan peliharaan dilihat dapat memelihara kesucian akidah umat Islam daripada unsur-unsur kepercayaan agama lain yang boleh menyesatkan.

Bahkan, syariat Islam juga telah menyediakan panduan kepada umat Islam untuk menguruskan kematian dengan kaedah pengebumian ke dalam tanah.

Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, hukum menyimpan abu haiwan peliharaan adalah haram kerana perbuatan tersebut menyerupai amalan serta kepercayaan agama lain.

Hukum abu yang terhasil daripada bangkai haiwan adalah najis. Bahkan penghasilan abu tersebut tidak mencapai tahap keperluan yang mendesak dan tiada sebarang manfaat daripadanya. perbuatan tersebut.

Umat Islam dituntut untuk bersifat ihsan terhadap haiwan dengan mengebumikan bangkai haiwan tersebut di tempat yang sesuai, selamat dan bertepatan tuntutan syarak.

Read Entire Article
Pertanian | | | |