HomeBois sambar tiket ke Riyadh

14 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Perjalanan mencabar pasukan HomeBois dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia akhirnya dinoktahkan dengan kemenangan manis apabila mereka mengesahkan slot kedua negara ke Piala Dunia e- Sukan (EWC) 2025 di Riyadh, Arab Saudi.

Tiket emas itu diraih selepas mereka bangkit menundukkan seteru utama, Dx Soul dengan kemenangan 3-2 dalam pertarungan final lower bracket MPL Malaysia Musim Ke-15, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan mereka mengiringi Selangor Red Giants untuk membawa cabaran Malaysia di kejohanan Piala Musim Pertengahan (MSC) bulan depan.

Pengasas Homebois, Nureddy Nursal atau lebih dikenali sebagai ‘Daddyhood’, menyifatkan kejayaan itu sebagai hadiah paling manis selepas mengharungi musim seperti ‘Roller Coaster’.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras pemain dan Allah hadiahkan dengan kemenangan sekali gus meraih tiket ke Riyadh. Apa yang terjadi esok (final) itu, esok lah.

PASUKAN HomeBois mahu berikan aksi terbaik pada aksi final menentang SRG


“Tapi hari ni sangat bermakna, sebab semua orang tahu perjalanan HomeBois ni memang macam roller coaster kejap kat bawah, kejap kat atas.

“Jadi, kalau tanya saya perasaan, kalau tanya saya apa yang kita buat sampai dari tidak lepas playoff sampai ke Riyadh, saya rasa semua itu adalah percaturan Allah yang hebat.

“Kita juga ubah pendekatan kerana HomeBois tak berjanji bulan dan bintang, kami hanya beri apa yang termampu tetapi dengan hala tuju yang jelas. Pasukan ini dibina daripada semangat mereka yang tidak diberi tempat di pasukan lain,” katanya.

Menjelang aksi final menentang Selangor Red Giants, Daddyhood memberi bayangan pasukannya tidak akan memberi laluan mudah dan mahu merampas trofi kejuaraan.

“Untuk final, kami akan berikan pertarungan terbaik, insya-Allah. Saya yakin mereka ada sesuatu yang disimpan untuk esok. Barisan kejurulatihan pun ada bagi tahu mereka mahu angkat piala. Saya percaya mereka mampu lakukannya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |