KATA orang, lelaki yang diangkat menjadi hero filem atau drama mestilah hadir dengan pakej, selain bakat, harus disertai rupa paras dan bertubuh tinggi lampai.
Memang tidak dinafikan kriteria tersebut merupakan satu bonus dan jalan mudah untuk seseorang bergelar pelakon. Jika semuanya ada, sempurna.
Namun, tidak semestinya yang bertubuh rendah harus melupakan cita-cita menjadi pelakon berjaya. Sejarah sudah membuktikan terdapat ramai pelakon lelaki yang bertubuh kecil berjaya menjadi aktir disegani dunia. Gala minggu menyenaraikan enam pelakon lelaki yang bertubuh kecil tetapi dipandang tinggi dek kehebatan aura dan bakat.
Tom Cruise
TOM Cruise boleh dikatakan aktor dalam kategori paling popular di dunia. Tersohor dengan watak Ethan Hawke dan francais Mission Impossible, Cruise hanyalah lelaki dengan ketinggian 172 sentimeter.
Biarpun tidak memiliki ketinggian sempurna seperti aktor Hollywood dan pesaingnya, namun wajah tampan Cruise mampu mencairkan wanita seluruh dunia, termasuklah aktres Nicole Kidman dan Katie Holmes yang jauh lebih tinggi daripadanya. Peminat lelaki pula sering teruja melihat setiap aksi merbahaya Cruise dalam
filem-filem aksi yang dibintanginya.
Daniel Radcliffe
Menempa kemasyhuran menerusi francais Harry Potter, Daniel Rafcliffe yang mula berlakon sejak usia 10 tahun hanya memiliki ketinggian 165 sentimeter. Dek wataknya sebagai Harry Potter, Daniel digilai ramai gadis di seluruh dunia.
Kini dia bahagia bersama Erin Darke yang dikenalinya sejak 2012 dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun.Menariknya, Erin juga jauh lebih tinggi daripada Daniel.
Tom Holland
Mula mencuri perhatian peminat seluruh dunia menerusi watak adiwira Spiderman, Tom Holland merupakan antara pelakon yang disegani pada eranya biarpun hanya memiliki ketinggian 169 sentimeter. Namun, Tom terlebih dahulu berjaya meruntun hati peminat filem menerusi filem The Impossible sewaktu berusia 12 tahun. Dia juga berjaya menambat hati aktres terkenal, Zendaya yang kini menjadi tunangnya. Zendaya juga lebih daripada Tom. Namun, pasangan itu antara yang paling disukai peminat di seluruh dunia sejak bergandingan dalam filem Spiderman.
Aamir Khan
Dikenali sebagai Mr. Perfectionist di negaranya, bakat lakonan Aamir Khan memang tidak dapat disangkal.
Selain terkenal dengan wajah yang tampan, Amir yang mempunyai ketinggian 165 sentimeter turut dikagumi ramai dek dedikasinya terhadap bertukar imej dalam setiap naskhah lakonan.
Menerusi Dangal contohnya, Amir menunjukkan transisi perubahan tubuh daripada sasa menjadi gemuk.
Zizan Razak
Terkenal sebagai pelawak yang serba boleh. Bakat Zizan bukan sahaja terhad kepada bidang lawak dan lakonan, malah dia juga handal dalam bidang muzik.
Berketinggian 168 sentimeter, Zizan berjaya mengumpul jutaan peminat sejak menyertai program Raja Lawak musim pertama pada 2007.
Deretan filem lakonannya berjaya mengungguli carta box office pawagam tanah air antaranya francais filem Abang Long Fadil dan Polis Evo.
Shaheizy Sam
SIAPA yang tidak mengenali aktor berbakat besar dengan nama pentas Shaheizy Sam. Beri sahaja apa sahaja watak, baik antagonis mahupun komedi, pasti berjaya dilaksanakannya.
Biarpun hanya memiliki ketinggian 170 sentimeter, namun itu tidak menghalang adik Zizie Izette itu mendapat pelbagai watak mencabar serta meraih pelbagai anugerah sama ada anugerah terbaik mahupun popular.
Sam antara aktor negara yang disegani ramai pelakon, junior mahupun senior.