Hasrat harumkan nama negara pudar, pasukan hoki jadi gelandangan

17 hours ago 6

KOSYDNEY – Pasukan hoki kebangsaan Pakistan berdepan detik memalukan di Canberra apabila terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di jalanan setelah mendapati tiada tempahan hotel dibuat untuk mereka, sekali gus menonjolkan masalah pentadbiran dan kewangan yang berterusan dalam Persekutuan Hoki Pakistan (PHF), lapor laman web The Australia Today.

Pasukan yang berada di Australia untuk siri kedua Liga Pro FIH 2026 di Hobart pada 12 Februari lalu itu dimaklumkan bahawa tempahan hotel bertaraf empat bintang di Canberra telah dibuat untuk mereka, dengan semua bayaran dilaporkan diuruskan terlebih dahulu oleh Lembaga Sukan Pakistan (PSB) dan PHF.

“Jelasnya, para pemain dan pegawai telah ditempah hotel empat bintang dan diberitahu bahawa semua bayaran penginapan telah dibuat,” kata sumber.

Bagaimanapun, keadaan menjadi kalut setibanya pasukan itu. Dilaporkan bahawa selepas perjalanan memenatkan selama hampir 24 jam dari Lahore, pemain dan pegawai dikejutkan dengan berita bahawa tiada tempahan yang wujud.

Ketua jurulatih Tahir Zaman sukar untuk menghubungi pegawai di Pakistan kerana perbezaan waktu, menyebabkan pasukannya tanpa tempat tinggal segera.

“Selama lima hingga enam jam, para pemain tiada tempat tinggal dan terpaksa menghabiskan masa di jalanan di Canberra.

“Pegawai Pakistan akhirnya mengatur penginapan kecemasan di hotel sama, namun kerana tempahan dibuat pada saat akhir, tiga pemain terpaksan berkongsi satu bilik,” tambahnya.

Ia bukan kali pertama pasukan hoki Pakistan berdepan kesukaran kewangan dan pentadbiran semasa bertanding di luar negara.

Dilaporkan bahawa semasa siri pembukaan Liga Pro FIH di Argentina, pemain dikatakan dinafikan elaun harian, menyebabkan mereka terpaksa bergelut untuk menampung perbelanjaan asas semasa mewakili negara di bumi asing.

Insiden Canberra telah mencetuskan kritikan terhadap PHF dan menimbulkan persoalan mengenai pengurusan sukan kebangsaan Pakistan.

Penganalisis-penganalisis berkata, kegagalan organisasi yang berulang bukan sahaja memalukan pasukan di peringkat antarabangsa tetapi juga berisiko merosakkan moral dan prestasi pemain, yang bersaing dengan pasukan berkedudukan tinggi seperti Australia dan Jerman dalam siri Liga Pro di Hobart. – AGENSI 

Read Entire Article
Pertanian | | | |