KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman hari ini menyempurnakan Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi, di sini.
Istiadat penuh tradisi itu merupakan perbarisan ulung yang dipersembahkan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada beliau selepas mengambil alih tampuk kepimpinan sebagai PAT ke-24 pada 2 Februari lalu.
Perbarisan bersejarah itu mencerminkan permulaan tekad kepimpinan beliau untuk memperkukuh ATM sebagai sebuah angkatan yang berintegriti, bersih dan terus dihormati.
Dalam amanat sulungnya, beliau menegaskan komitmen memperkasa tadbir urus, memantapkan disiplin organisasi serta memperkukuh budaya profesionalisme agar ATM terus diyakini rakyat sebagai benteng utama kedaulatan negara.
Menurutnya, perbarisan tersebut menjadi platform penting untuk menetapkan hala tuju kepimpinan serta menyampaikan perintah yang akan memandu warga ATM mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Bagi merealisasikan aspirasi itu, beliau menggariskan tiga nilai teras ATM iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur, sambil menyeru seluruh warga angkatan menghayati prinsip berkenaan sebagai asas pembentukan peribadi unggul, kepimpinan berakauntabiliti dan semangat juang tidak berbelah bahagi.
Selari usaha memelihara maruah institusi, beliau turut memperkenalkan tujuh tonggak strategik sebagai pelan tindakan kepimpinan, antaranya pembentukan warga berakhlak tinggi dan tersemai iman, pemantapan tatakelola serta integriti, kesiapsiagaan menyeluruh mendepani cabaran global, kebajikan anggota, keluarga dan veteran ATM, pengukuhan konsep ATM bersama masyarakat serta pemerkasaan diplomasi pertahanan berprinsip demi memastikan Malaysia terus dihormati.
Perbarisan tempur statik itu melibatkan dua kontinjen daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Kontinjen pertama menghimpunkan detasmen pasukan khas ATM termasuk 21 Grup Gerak Khas (GGK), 10 Briged (Para), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU). Kontinjen kedua pula terdiri daripada detasmen ketiga-tiga perkhidmatan serta anggota wanita ATM.
Perbarisan diketuai Leftenan Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz yang memimpin 30 pegawai dan 730 anggota lain-lain pangkat. Alunan muzik daripada Pancaragam Pusat ATM bersama aset peragaan turut menjadi simbol kekuatan, kesiapsiagaan dan kesepaduan angkatan.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri serta pegawai kanan dan warga ATM sekitar Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
8






![[VIDEO] Tiga diburu lempar mercun dalam rumah warga emas](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-6.32.32-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Kami dah selesai cara baik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-4.48.32-PM.jpeg)







![[VIDEO] Tesla hilang kawalan punya kemalangan tular di Temerloh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-12.51.31-PM.jpeg)
![[VIDEO] Dua pensyarah UiTM selamat, mangsa pokok tumbang Shah Alam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/uitm.jpeg)





























