Buruh dijel 12 bulan curi ubat-ubatan temasuk paracetamol

13 hours ago 8

MELAKA – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri ubat-ubatan termasuk 28 papan paracetamol bernilai RM853.20, sejak tahun lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ridhwan Abd. Rahman, 30, yang membuat pengakuan tersebut sejurus empat pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan niat curang telah mencuri 21 papan Panadol pelbagai jenis untuk kegunaan sendiri dalam milikan seorang wanita bernilai RM282.80 di sebuah premis FamilyMart di Sungai Udang, pada pukul 7.47 malam, 28 November 2025.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah mencuri empat kotak Panadol Actifast 20s, tujuh papan Panadol Actifast Compact serta tiga kotak Panadol New Blister daripada milikan seorang wanita di sebuah premis FamilyMart di Taman Nirwana, Klebang pada pukul 4.25 petang, 27 Oktober 2025.

Tertuduh turut mengaku bersalah mencuri pelbagai ubat-ubatan menyebabkan kerugian bernilai RM248.30 di sebuah premis 7-Eleven di Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya pada pukul 5.35 petang, 20 November 2025.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mencuri 21 unit Panadol pelbagai jenis bernilai RM322.10 milik FamilyMart di Taman Rambai Jaya pada pukul 1.57 petang, 29 Januari 2026.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang singkat dengan alasan tertuduh merupakan penanggung utama keluarganya dengan bekerja sebagai buruh kasar.

Hujahnya, tempoh hukuman penjara yang panjang dikhuatiri akan menjejaskan kebajikan ibu bapa tertuduh yang uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran memandangkan tertuduh melakukan kesalahan itu secara berulang kali demi kepentingan peribadi.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan secara berasingan dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |