Arora Skincare sasar perolehan jualan RM20 juta

13 hours ago 8

SETIA ALAM – Arora Skincare mengunjurkan jualan sehingga RM20 juta pada tahun ini, naik sekali ganda daripada jualan yang telah dicapai tahun lalu sebanyak RM10 juta, dipacu oleh pengembangan aktif terbaharu dan pelan yang sedang dilaksanakan syarikat.

Pengasas Arora Skincare, Shahirra Shahrul Asmawi berkata, antara usaha tersebut adalah pembukaan lima Arora Beauty Spa termasuk cawangan terbaharunya di Setia Alam selain di sokong oleh empat outlet lain di Ipoh, Seri Manjung, Perak; Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Cyberjaya meluaskan lagi rangkaian peluasan pasaran sedia adanya.

Menurut beliau, syarikat juga sedang menyusun strategi untuk membuka 10 lagi Arora Beauty Spa pada tahun ini bagi menjadikan semua outletnya sebanyak 15 cawangan.

“Dengan pembukaan Arora Beauty Spa, ini adalah langkah ke hadapan kami dalam menjadikan empayar ini lebih kukuh dan berdaya saing sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai orang khususnya bagi pelanggan yang setia dengan jenama ini ataupun yang baru.

“Ini adalah cara kami untuk meraikan pelanggan dan memberi lebih akses kepada pasaran yang lebih luas.

“Arora sudah terkenal sebagai produk penjagaan kulit wajah termasuk rangkaian ampoule, sabun pencuci dan pelindung kulit yang dirumus khas bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi pelanggan.

“Ini kerana produk kami yang dihasilkan daripada bahan se­mulajadi yang telah melalui kajian dan pembangunan (R&D) serta ujian makmal bagi memastikan keberkesanan malah ia selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Arora Beauty Spa untuk cawangan kelimanya di sini baru-baru ini.

Shahirra menerangkan, syarikat yang bermula sejak tahun 2021 itu menawarkan pelbagai kemudahan canggih di setiap outletnya yang mana pelanggan boleh merasai rawatan profesional yang lebih mendalam.

Antaranya adalah analisis kulit menggunakan face analyzer machine, rawatan kecantikan yang disesuaikan mengikut jenis kulit wajah yang mana beliau membawa pendekatan berbeza daripada perkhidmatan daripada spa pesaing lain.

“Sering berlaku masalah harga mahal dan ‘mengikat’ pelanggan menjadi antara cabaran buat pelanggan di pusat spa lain tetapi perkhidmatan yang kami tawarkan di sini mengikut keperluan wajah pelanggan, dan lebih penting, ia mengikut bajet mereka. Tiada paksaan untuk pelanggan melanggan pakej yang kami tawarkan,” jelasnya.

Jelas beliau, konsep ini disambut baik oleh ramai pelanggan kerana memberi kebebasan serta kejelasan terhadap pilihan rawatan disamping memberi pengalaman baik kepada pelanggan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |