SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya seluruh rakyat tidak terpengaruh dengan sikap segelintir pihak khususnya ahli-ahli politik yang gemar meniup api perpecahan demi kepentingan sempit.
Baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office menegaskan, perpaduan yang telah bina sekian lama tidak harus digadai oleh retorik yang memecah-belahkan masyarakat.
“Negara ini milik kita bersama, dan keharmonian yang dikecapi hari ini adalah hasil toleransi serta kebijaksanaan generasi terdahulu.
“Beta berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama,” titah baginda menerusi perutusan sempena Tahun Baharu Cina.
Sultan Sharafuddin bertitah perayaan seperti Tahun Baru Cina bukan sekadar tradisi turun-temurun malah merupakan lambang kekayaan budaya dan warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara kita.
Titahnya, Malaysia dibina atas asas kepelbagaian kaum, agama dan budaya. Kekuatan inilah yang menjadikan kita unik serta dihormati di persada dunia.
“Beta ingin mengingatkan bahawa setiap perayaan harus dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat muhibbah dan saling hormat-menghormati antara semua kaum.
“Biarlah kunjungan rumah terbuka, ucapan tahniah dan amalan berkongsi rezeki menjadi bukti keikhlasan kita dalam menghormati kepercayaan dan budaya antara satu sama lain,” titahnya.
Baginda berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.
“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titahnya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua yang meraikannya di negeri Selangor dan Malaysia.
“Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa sinar harapan baharu, memperkukuhkan perpaduan, serta menambahkan rasa kasih sayang antara kita semua,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
4





![[VIDEO] Tiga diburu lempar mercun dalam rumah warga emas](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-6.32.32-PM.jpeg)




![[VIDEO] ‘Kami dah selesai cara baik’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-4.48.32-PM.jpeg)







![[VIDEO] Tesla hilang kawalan punya kemalangan tular di Temerloh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-16-at-12.51.31-PM.jpeg)
![[VIDEO] Dua pensyarah UiTM selamat, mangsa pokok tumbang Shah Alam](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/uitm.jpeg)





























