ACLE: Vissel Kobe sedia hentam JDT malam esok

11 hours ago 7

ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Vissel Kobe, Michael Skibbe mengakui pasukannya berdepan cabaran besar menjelang pertemuan menentang kelab gergasi Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.

Skibbe berkata, perjalanan jauh hampir 13 jam dari Osaka ke Johor tidak menjejaskan semangat pasukannya, malah menganggap keadaan cuaca panas dan lembap di sini tidak banyak berbeza dengan musim panas di Jepun.

“Pertama sekali, kami sangat teruja berada di sini. Ini satu pengalaman hebat untuk pemain kerana dapat beraksi di tahap antarabangsa menentang pasukan berkualiti,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan hari ini.

Menurut Skibbe, jadual padat serta tempoh persiapan singkat empat minggu sebelum musim baharu bermula menyebabkan beberapa pemain utama tidak dapat bersama pasukan kali ini kerana komitmen saingan Liga Jepun.

“Ramai pemain telah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari. Namun saya percaya dengan skuad yang kami bawa. Kami mempunyai lebih 25 pemain berkualiti dan bersedia untuk diturunkan,”jelasnya.

Beliau turut mengakui JDT memiliki barisan pemain import berpengalaman dari Eropah dan Amerika Selatan selain tonggak tempatan yang berkualiti tinggi.

“Kami tahu standard yang diperlukan untuk bersaing malam esok sangat tinggi. JDT telah menunjukkan prestasi konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk di pentas antarabangsa,” katanya.

Skibbe menegaskan fokus utama pasukannya adalah untuk tampil kompetitif dan berdisiplin sepanjang 90 minit perlawanan.

“Dalam setiap perlawanan, sama ada persahabatan atau kompetitif, kami turun untuk menang. Sudah tentu tiga mata penting, tetapi yang lebih utama adalah memberikan persembahan terbaik,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |