BANDAR GAZA – Selepas hampir dua tahun perang berterusan di Gaza, Hamas masih mampu membayar gaji kepada kira-kira 30,000 kakitangan kerajaannya dengan bayaran berjumlah AS$7 juta (RM29 juta), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.
BBC dalam laporannya mendedahkan temu bual dengan tiga kakitangan awam Hamas yang memberitahu bahawa mereka menerima hampir AS$300 (RM1,268) setiap seorang pada minggu lepas.
Mereka dipercayai antara puluhan ribu pekerja yang terus menerima lebih 20 peratus daripada bayaran gaji penuh sebelum perang Gaza tercetus.
Namun, tanpa sistem perbankan yang berfungsi di Gaza, proses menerima gaji adalah rumit dan ada masanya berbahaya.
Ini kerana Israel kerap mengenal pasti dan menyasarkan pengedar gaji Hamas serta berusaha untuk mengganggu keupayaan kumpulan itu untuk mentadbir.
Pekerja iaitu daripada anggota polis hinggalah pegawai cukai, sering menerima mesej yang disulitkan pada telefon bimbit mereka atau pasangan.
Ia mengarahkan mereka untuk pergi ke lokasi tertentu pada masa tertentu untuk ‘minum teh bersama rakan’.
Pada lokasi pertemuan, pekerja akan didekati oleh seorang lelaki atau kadangkala wanita, yang secara diam-diam menyerahkan sampul surat tertutup mengandungi wang.
Individu tersebut kemudian hilang tanpa berinteraksi lebih lanjut.
Seorang pekerja di Kementerian Hal Ehwal Agama Hamas yang enggan namanya didedahkan menggambarkan bahaya yang terlibat dalam proses mengambil gaji.
“Setiap kali saya pergi mengambil gaji, saya mengucapkan selamat tinggal kepada isteri dan anak-anak.
“Saya tahu saya mungkin tidak akan kembali semula,” katanya.
“Pernah beberapa kali, serangan Israel mengenai pusat agihan gaji.
“Saya terselamat daripada serangan yang menyasarkan pasar yang sibuk di Bandar Gaza.” tambahnya.
Seorang guru sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Alaa (bukan nama sebenar) berkata, dia menerima kira-kira AS$300 dalam wang kertas yang sudah rosak.
“Hanya AS$60 (RM253) yang boleh digunakan. Selebihnya, sejujurnya saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada BBC.
Masih tidak jelas bagaimana Hamas dapat meneruskan pembiayaan pembayaran gaji kakitangannya memandangkan kemusnahan sebahagian besar infrastruktur pentadbiran dan kewangannya.
Seorang kakitangan kanan Hamas yang berkhidmat dalam jawatan tinggi memberitahu BBC bahawa kumpulan itu menyimpan kira-kira AS$700 juta (RM2.9 bilion) dalam bentuk tunai dan ratusan juta shekel dalam terowong bawah tanah sebelum serangan maut kumpulan itu pada 7 Oktober 2023.
Mengikut sejarah, Hamas bergantung pada pembiayaan daripada duti import dan cukai tinggi yang dikenakan ke atas penduduk Gaza, selain menerima sokongan bernilai berjuta-juta dolar dari Qatar.
Sayap tentera Hamas yang beroperasi melalui sistem kewangan berasingan, Briged Al Qassam dikatakan dibiayai sebahagian besarnya oleh Iran.
Seorang pegawai kanan daripada pertubuhan Ikhwanul Muslimin yang berpangkalan di Mesir berkata, kira-kira 10 peratus daripada bajet mereka diberikan kepada Hamas.
Bagi menjana pendapatan semasa perang, Hamas juga terus mengenakan cukai ke atas peniaga dan menjual rokok dalam kuantiti yang banyak pada harga melambung sehingga 100 kali ganda kos asal. – AGENSI