Hakim arah Trump kembalikan tentera Pengawal Kebangsaan kepada California

21 hours ago 7

LOS ANGELES – Seorang hakim memerintahkan Presiden Donald Trump mengembalikan kawalan  Pengawal Kebangsaan California kepada kerajaan negeri sekali gus mengesahkan keputusan Trump mengerahkan pasukan tentera simpanan berkenaan ke Los Angeles sebagai ‘melanggar undang-undang’.

“Tindakan Trump telah melanggar undang-undang. Justeru, beliau mesti segera mengembalikan kawalan Pengawal Kebangsaan California kepada Gabenor Negeri California (Gavin Newsom),” kata Hakim Daerah Amerika Syarikat, Charles Breyer dalam keputusannya.

Bagaimanapun, beliau menangguhkan perintah itu sehingga pukul 12 tengah hari (waktu tempatan) hari ini dengan White House dijangka mengemukakan rayuan, manakala kes itu mungkin berakhir di Mahkamah Agung.

“Perintah Trump mengerahkan askar simpanan kerajaan negeri akan dilucutkan.

“Beliau bukannya seorang raja dan perlu berhenti bertindak seperti raja,” kata Newsom daripada parti pembangkang, Parti Demokrat.

Keputusan Trump untuk mengerahkan tentera simpanan milik negeri California di sebalik bantahan gabenornya adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh presiden AS sejak 1965.

Parti Republikan yang memerintah berhujah bahawa Trump berbuat demikian kerana protes di Los Angeles terhadap serbuan imigresen menjadi tidak terkawal, dan bandar raya itu berada dalam situasi huru-hara.

Bagaimanapun,  Newsom dan penguatkuasa undang-undang tempatan berulang kali menyatakan bahawa tiada keperluan untuk kerahan tersebut kerana  protes itu kebanyakannya berlangsung secara aman dan terkawal  walaupun dicemari beberapa insiden keganasan termasuk pembakaran kereta.

Pengkritik-pengkritik Republikan pula menuduh Trump melampaui kuasanya untuk cuba melakukan rampasan kuasa di California. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |