Guna Datuk Seri palsu, waris harta luar negara perdaya mangsa

1 week ago 15

KUALA LUMPUR – Menggunakan gelaran Datuk Seri selain mendakwa mewarisi harta milik seseorang warga Indonesia di luar negara bagi memperdaya mangsa.

Itu taktik dalang utama sindiket penipuan pelaburan yang dikendalikan sebuah syarikat yang didakwa mempunyai akses kepada dana emas dan wang tunai berjumlah billion ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati syarikat terbabit tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Malah, katanya, hasil semakan terhadap gelaran Datuk Seri yang dimiliki pemilik syarikat berkenaan juga adalah palsu.

“Sebanyak 43 laporan polis diterima sejak 2023 dan pihaknya membuka 15 kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, 40 keterangan diambil berhubung penipuan berkenaan membabitkan 37 mangsa dan tiga saksi untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Rusdi berkata, pelabur turut diperdaya melalui dokumen palsu kononnya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang lengkap dengan logo, cop dan tandatangan palsu.

Bagaimanapun katanya, siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan pengesahan daripada pihak BNM berkenaan dokumen itu.

“Sehingga kini tiada dana atau pulangan wang yang diterima oleh pelabur sebaliknya pelbagai alasan diberikan termasuk masalah teknikal di luar negara dan dokumen tamat tempoh.

“Setakat ini juga belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kes masih dalam siasatan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan, seramai 57 individu mengalami kerugian hampir RM8.4 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tahyul membabitkan dana emas dan tunai didakwa bernilai puluhan bilion dolar Amerika Syarikat (AS) di luar negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, kesemua individu terbabit adalah mangsa penipuan sebuah syarikat dimiliki seorang lelaki tempatan didakwa mempunyai gelaran Datuk Seri berusia 60-an. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |