KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja berlangsung hari ini berjaya mencapai kata sepakat menerusi lima ketetapan utama.
Ia termasuk persetujuan untuk melaksanakan pemantauan rapi terhadap pelaksanaan gencatan senjata membabitkan semua bentuk serangan dan penggunaan senjata.
Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mengekalkan kedudukan semasa pasukan keselamatan masing-masing seperti yang direkodkan pada tarikh gencatan senjata, tanpa sebarang penambahan atau pergerakan anggota tentera di sepanjang sempadan.
Menurut beliau lagi, sebuah pasukan pemerhati sementara turut akan ditubuhkan bagi melaksanakan pemantauan secara berkala di kawasan sempadan, namun tanpa menyeberangi garisan sempadan antara kedua-dua negara.
“Pasukan ini akan beroperasi secara berasingan di Thailand dan Kemboja serta akan berkoordinasi rapat dengan Jawatankuasa Sempadan Bersenjata (ABC) dan GBC negara masing-masing bagi memastikan pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, penubuhan pasukan pemerhati ini membabitkan atase tentera ASEAN yang berpangkalan di Thailand serta Kemboja dan akan diketuai oleh penolong atase tentera Malaysia.
“Ini adalah untuk memastikan tiada pihak yang melanggar gencatan senjata,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha berkata, Kemboja dan Thailand juga bersetuju mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa berkaitan tahanan perang serta pemulangan jasad secara bermaruah.
“Kedua-dua pihak bersetuju mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dalam pengendalian tahanan perang termasuk tempat tinggal, makanan dan rawatan perubatan.
“Kemboja turut menggesa Thailand membebaskan 18 askar yang masih ditahan,” katanya.
Katanya, pihaknya turut berharap terma rujukan penubuhan Suruhanjaya Pemerhati Bersama Gencatan Senjata dapat dimuktamadkan secepat mungkin.
“Kemboja bersedia untuk bekerjasama secara aktif dengan semua pihak terbabit, khususnya Malaysia dan Thailand.
“Selain menegaskan komitmen Kemboja untuk terus menyelesaikan semua pertikaian dengan cara damai berlandaskan undang-undang antarabangsa dan Piagam ASEAN demi kestabilan serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE