Ganja RM1.48 juta disorok dalam kotak, 2 GRO antara 4 ditahan

4 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Dua wanita gadis pelayan pelanggan (GRO) kelab malam antara empat individu ditahan polis ketika serbuan ke atas sebuah unit apartment di Taman Kuchai Entrepreneurs kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, 29 Julai lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing dan dua wanita warga asing berusia lingkungan 26 hingga 30 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil pemeriksaan lanjut di ruang tamu rumah itu telah menemukan lapan buah kotak berwarna coklat yang mengandungi 91 bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.

“Jumlah berat rampasan dianggarkan seberat 42.3 kilogram dengan nilai pasaran mencecah RM1.48 juta. Ia mampu merosakkan seramai 84,570 penagih,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Menurut Hussein, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menjadikan unit apartment sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki tempatan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin manakala tiga lagi suspek didapati negatif.

“Tiada sebarang rekod jenayah lampau dikesan ke atas keempat-empat individu itu,” jelasnya.

Tambah beliau, dua wanita yang ditahan dipercayai merupakan teman wanita kepada dua suspek lelaki berkenaan dan bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam.

Katanya lagi, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai RM800 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |