GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang gadis berusia 23 tahun atas pertuduhan membunuh anak sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuannya dari tingkap apartment, lima tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad turut memerintahkan tertuduh, M Santhiea, didenda RM10,000 atau dia berdepan lima bulan penjara sekiranya denda tersebut gagal dibayar.
Hakim memutuskan demikian ketika prosiding terhadap Santhiea yang ketika itu berusia 18 tahun yang sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan pilihan membunuh anak sendiri (infantisid) selepas membuang bayi perempuannya dari tingkap apartment, lima tahun lalu.
Sebelum ini, dia didakwa atas pertuduhan membunuh pada tahun 2020, namun pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan alternatif atas faktor keadaan mentalnya selepas bersalin dan berdasarkan keterangan beberapa saksi.
Mengikut pertuduhan baharu di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, seorang wanita boleh disabitkan kesalahan infantisid sekiranya menyebabkan kematian anak yang baru dilahirkan ketika mengalami gangguan fikiran akibat belum pulih sepenuhnya daripada proses bersalin.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Ketika prosiding berlangsung, Rofiah berkata, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara yang dikira dari tarikh dia tangkap iaitu pada 10 Julai sehingga 14 September 2020 dan 30 Disember 2020 hingga 15 Januari 2021.
“Berdasarkan pengakuan tertuduh terhadap pertuduhan pilihan serta fakta kes yang diakui sepenuhnya tanpa syarat, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pilihan tersebut,” katanya.
Rofiah berkata, daripada laporan sosial juga mendapati tertuduh mengalami emosi yang tidak stabil, malah keluarga tertuduh dipulaukan oleh masyarakat dan dipandang hina berdasarkan kejadian tersebut.
“Walaupun pada zahirnya tertuduh telah ditahan reman antara tiga hingga empat bulan, setelah penelitian, mahkamah mendapati tertuduh mengalami kemurungan major (major depression). Pada hari kejadian, tertuduh sebenarnya telah bertekad untuk membunuh diri selepas melahirkan bayi,” katanya.
Tambahnya, walaupun bebas dengan jaminan sepanjang lima tahun sejak kejadian, kehidupan tertuduh adalah seperti hidup dalam neraka, sentiasa diburu rasa bersalah terhadap perbuatannya.
“Penderitaan yang ditanggung tertuduh telah memberi kesan juga kepada ahli keluarga. Oleh itu, mahkamah mengambil kira bahawa hukuman berat tidak akan membantu, sebaliknya kesan trauma dan masalah mental perlu diutamakan.
“Berdasarkan kemungkinan tertuduh melakukan perbuatan membunuh diri di dalam penjara, adalah wajar diberikan peluang kedua agar tertuduh dapat kembali kepada masyarakat,” katanya.
Kosmo! difahamkan, bapa gadis tersebut telah membayar denda yang dikenakan anaknya itu, tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE