BRENTFORD – Pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengakui kelab itu masih belum ‘bersedia’ untuk bersaing di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL) musim selepas berdepan kekalahan 3-4 kepada Brentford kelmarin.
United bakal meraih slot ‘percuma’ sekiranya berjaya menjulang trofi Liga Europa musim ini selepas hampir sebelah kaki ke pentas final dengan menewaskan Athletic Bilbao 3-0 pada aksi separuh akhir pertama.
Bagaimanapun, momentum kejayaan itu gagal dikekalkan untuk saingan EPL apabila mencatat kekalahan ke-16 musim ini dan menjadi rekod terburuk sepanjang 35 tahun saingan tersebut berlangsung selain rekod enam aksi tanpa kemenangan juga adalah kali pertama sejak
Disember 2015.
“Kami belum bersedia beraksi di EPL, untuk menjadi pasukan yang kompetitif dan seterusnya bersaingan di UCL. Kami sedar mengenai perkara itu, tetapi kami perlu menang (Liga Europa) untuk memberikan sesuatu kepada peminat (layak ke UCL),” jelasnya.
Bagaimanapun, Amorim mengakui beliau gembira melihat beberapa elemen yang berlaku biarpun pasukannya tewas menentang Brentford selain mengenalpasti masalah yang menghantui United.
“Kami bermula dengan baik, mengawal perlawanan, namun lontaran ke dalam dan set-piece benar-benar memberikan kami masalah. Kami tidak mempunyai pemain yang tinggi dalam pasukan.
“Ini perkara yang kami perlu lihat apabila berdepan perlawanan seperti ini. Kami hampir untuk mengakhiri perlawanan ini dengan keputusan seri, namun kami kekal berjuang meskipun ketinggalan 1-4 pada satu ketika,” katanya.
Kekalahan tersebut bukan sahaja meletakkan United di tangga ke-15 ketika ini, namun mereka terpaksa berdepan kemungkinan kehilangan sekali lagi khidmat pemain pertahanan, Matthijs De Ligt yang mengalami kecederaan. – AGENSI