Empat termasuk ahli perniagaan bebas edar dadah 2,416 kilogram

18 hours ago 8

KLANG – Empat termasuk dua bekas ahli perniagaan terlepas tali gantung selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis ketamin dan kokain dengan berat keseluruhan 2,416 kilogram, enam tahun lalu.

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yap Yan Foong, 57, Tang Kok Seng, 61, T. Balasubramaniam, 54, dan M Shateesh, 33, di akhir kes pendakwaan.

Norliza dalam penghakimannya menyatakan pegawai penyiasat gagal untuk menyiasat kes secara menyeluruh sehingga menimbulkan kelompangan di dalam kes itu.

Katanya, pihak pendakwaan gagal membuktikan semua tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif terhadap gudang di Puncak Alam dan rumah kedai di Subang Pelangi yang mempunyai simpanan dadah tersebut.

Dokumen-dokumen berkenaan urusan import kontena, sewaan gudang dan rumah kedai tersebut juga didapati tiada nama bagi mana-mana tertuduh dalam kes ini.

“Meskipun kes ini merupakan rampasan dadah terbesar di Malaysia, namun wujud kelompangan material dalam kes pendakwaan.

“Ini apabila dua individu yang memainkan peranan penting, tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Tiada juga sebarang usaha oleh pihak Kastam untuk mengesan dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, empat lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ketamine seberat 310.832 kilogram di Pusat Perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam di sini, pada pukul 4.30 petang, 18 Ogos 2019.

Dalam pada itu, Yan Foong dan Kok Seng turut berdepan satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya iaitu Kokain seberat 2,106.133 kilogram di sebuah premis di Subang Pelangi, Seksyen U5, di sini pada jam 9.20 malam, 18 Ogos 2019.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan.

Pada prosiding itu, semua tertuduh diwakili peguam, Zaleha al-Hayat dan Nur Qistina Mohd. Nizam sementara pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli dan Syazwani Zawawi.

Seramai 27 saksi pendakwaan termasuk saksi-saksi warga negara Bangladesh telah dipanggil untuk memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Caption

Keempat-empat tertuduh bersama peguam mereka selepas dilepas dan dibebaskan dari tuduhan mengedar dadah.

Read Entire Article
Pertanian | | | |