Empangan Bukit Merah kritikal, operasi pembenihan awan dimulakan

5 hours ago 4

SHAH ALAM – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Empangan Bukit Merah, Perak bermula hari ini sebagai usaha untuk meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi tersebut dilaksanakan bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) susulan keadaan semasa di empangan tersebut yang kini berada pada tahap amat kritikal.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, keadaan itu berlaku berikutan cuaca panas berpanjangan dan ketiadaan hujan yang ketara sejak bermulanya Monsun Barat Daya.

“Pada 31 Julai 2025, paras takungan air di empangan ini mencatatkan hanya 12.2 peratus atau 19.80 kaki.

“Empangan Bukit Merah bukan sekadar sumber air domestik untuk ribuan penduduk, ia juga menyokong pengairan sawah padi, perikanan, pelancongan serta fungsi mitigasi banjir,” katanya ketika sidang akhbar Operasi Pembenihan Awan empangan Bukit Merah, Perak di Lapangan Terbang TUDM Subang, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kegagalan menangani krisis itu dengan segera boleh memberi kesan berantai terhadap bekalan makanan, pendapatan rakyat luar bandar serta kestabilan ekosistem setempat.

“Lebih membimbangkan, keadaan cuaca panas dan pembakaran hutan juga menyebabkan peningkatan jerebu di beberapa kawasan.

“Taburan hujan yang rendah telah menjejaskan keupayaan atmosfera untuk mengurangkan zarah terampai, menyebabkan bacaan IPU meningkat dan menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, operasi tersebut telah menggunakan kaedah pembenihan basah dengan penyemburan larutan garam (natrium klorida) ke dalam awan kumulus menara pada ketinggian 5,000 hingga 8,000 kaki. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |