Dua pemain bakal lengkapkan impian Man. United

1 week ago 14

ATLANTA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Manchester United, Omar Berrada menegaskan pihaknya masih bernafsu untuk memburu pemain bertaraf bintang untuk memantapkan pasukan sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September depan.

Sebagai rekod, pengurusan The Red Devils telah berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini dengan mengeluarkan dana hampir £140 juta (RM788.8 juta) untuk menandatangani Bryan Mbeumo, Matheus Cunha dan Diego Leon.

Menurut Berrada, pengurusan tertinggi tidak akan goyang kaki sebaliknya berusaha untuk memenuhi permintaan barisan kejurulatihan yang diketuai Amorim dalam misi memastikan pasukan mencabar trofi berprestij musim depan.

“Kami sekarang bekerja daripada pagi hingga ke malam untuk memastikan persiapan pasukan berjalan lancar. Sepanjang pramusim (di Amerika Syarikat), Jason Wilcox (pengarah bola sepak United) turut sibuk di Manchester.

“Kami menerima banyak panggilan dan menghadiri mesyuarat untuk memastikan kita dapat semua pemain yang diburu oleh jurulatih. Sebagai bukti, kita berjaya dapatkan Mbeumo, Cunha dan Leon baru-baru ini.

“Mereka semua dilihat tidak menunggu lama untuk serasi dengan menunjukkan prestasi positif dan sedia untuk mengharungi cabaran musim baharu,” katanya.

Menurut laporan, United kini memburu sekurang-kurangnya dua lagi pemain iaitu Benjamin Sesko daripada pasukan Red Bull Leipzig dan tonggak tengah, Hayden Hackney (Middlesbrough).

Sementara itu, Berrada turut menganggap kehadiran Amorim telah menaikkan semula standard United ke tahap yang lebih tinggi dengan barisan pemain sedar dengan kehendak pasukan.

“Pasukan kini cukup harmoni dan pemain juga faham dengan falsafah yang diterapkan oleh Amorim dan Wilcox. Saya harap tiada lagi isu (luar padang) dan pemain dapat kekalkan disiplin sekali gus terus bersatu sepanjang musim nanti,” katanya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |