
- Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
- 4 Ogos 2025, 5:04 pm
TANJUNG MALIM – Dua lelaki masing-masing berumur sekitar 20-an maut dalam kemalangan membabitkan dua lori masing-masing membawa muatan telur ayam dan simen kampit di Kilometer (KM) 372.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan, di sini pada pukul 12.18 tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pemandu lori membawa muatan telur itu tidak dapat mengawal jentera berat itu sebelum melanggar bahagian belakang lori simen tersebut.
“Nahas itu menyebabkan dua mangsa lelaki tercampak keluar daripada lori sementara dua mangsa lain mengalami kecederaan. Bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kesemua mangsa.
“Dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara yang cedera dihantar ke hospital terdekat menggunakan ambulans,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, pemandu dan kelindan lori simen itu tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE