Dua lelaki mengaku tidak salah rompak wanita China RM2.1 juta

1 week ago 13

KUALA LUMPUR – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita warga China membabitkan kerugian berjumlah RM2.1 juta.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Syaqir Mohd. Ami, 30, dan Nur Mohamed Mahsar Mohamed Nor, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dua orang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta milik mangsa yang berusia 31 tahun.

Harta itu ialah seutas jam tangan berjenama bernilai RM1.2 juta, tiga jongkong emas seberat 300 gram, wang tunai berjumlah RM100,000 dan lima telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran kerugian berjumlah RM2,146,000.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Damansara di sini pukul 10.10 malam pada 21 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nidzuan Abdul Latif tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Dalam hujahan ringkas, Nidzuan turut memaklumkan kes yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dengan membabitkan kerugian yang tinggi.

“Sekiranya mahkamah memberikan jaminan, terdapat risiko untuk tertuduh melarikan diri ini kerana semasa tangkapan dibuat, salah seorang tertuduh cuba melarikan diri. Sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin jaminan, saya mohon setiap tertuduh dikenakan jumlah jaminan yang tinggi berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran serta menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Hazwan Hassan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin selain tiada bantahan mengenai syarat tambahan yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Peguam itu berkata tertuduh Mohd. Syaqir bekerja sebagai juru jual dan berpendapatan RM2,000 sebulan selain menanggung ibunya menghidap penyakit kanser tahap empat.

“Tertuduh juga baru sembuh dari lumpuh setelah terlibat dalam kemalangan pada Ogos tahun lepas,” katanya

Sementara tertuduh Nur Mohamed Mahsar yang juga bekerja sebagai jurujual dan berpendapatan RM2,000 sebulan perlu menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Siti Shakirah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM15,000 beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 30 September ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |