‘Dia (Bella Astillah) menggigil sebab trauma’

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Susulan suasana tegang yang berlaku semasa Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) malam tadi, pembantu peribadi kepada penyanyi Bella Astillah, Niel Rafeq membuat menjelaskan wanita itu mengalami trauma ketika menyampaikan mengumumkan kemenangan dan penyampaian trofi kepada pelakon Sophia Albarakbah.

Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab kritikan berhubung sikap Bella, atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, yang didakwa bertindak tidak profesional semasa menyampaikan anugerah bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat selain masih terkesan dengan perbuatan Sophia yang dikatakan pernah mengganggu rumah tangganya bersama Aliff Aziz sebelum ini.

“Kawan yang terdekat saja tahu apa dia buat dekat hidup Bella dulu dan itu bukan cara menyampaikan anugerah.

“Tapi tadi (semalam) jadi macam itu mungkin pada orang yang dah memberi trauma pada hidup dia.

“Dia menggigil sebab trauma, dia saja pernah nampak apa yang orang tak tahu sehingga hari ini,” katanya dalam hantaran InstaStory.

Pada masa sama, Niel turut menjelaskan bahawa pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu hanya menyerahkan segala yang berlaku kepada ketentuan Ilahi.

“Bella selalu pesan pada kami yang penting Allah tahu.

“Dia selalu percaya Allah akan sayang dan beri yang terbaik buat orang yang sabar,” ujarnya lagi.

Dalam hantaran sama, Niel turut meninggalkan tanda pagar ‘jangan buat innocent’ seolah-olah menyindir individu yang berpura-pura tidak bersalah walaupun sudah menjadi punca penderitaan orang lain.

Semalam, suasana penyampaian trofi oleh Bella kepada Sophia kelihatan tegang apabila masing-masing tidak bersalaman di atas pentas.

Menguatkan lagi dakwaan, Bella juga terus menghilangkan diri selepas acara tamat dan langsung tidak muncul di bilik sidang media walaupun memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Tindakannya menggandakan lagi spekulasi netizen yang menyifatkan wujud ‘perang dingin’ antara kedua-dua selebriti berkenaan.

Namun, Sophia memilih untuk tidak menghiraukan perkara tersebut selain memaklumkan tidak menyimpan sebarang prasangka terhadap Bella.

Untuk rekod, sekitar Januari tahun lalu, nama Sophia pernah dikaitkan sebagai orang ketiga dalam kemelut rumah tangga Bella dan Aliff Aziz.

Bella turut mendedahkan mesej peribadi yang menunjukkan permohonan maaf daripada Sophia ketika kontroversi tersebut meledak di media sosial.

Pasangan selebriti itu akhirnya disahkan bercerai pada 13 Jun lalu selepas mendirikan rumah tangga sejak 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |