Dewan Rakyat: AS iktiraf Malaysia sebagai rakan dagang utama

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kadar tarif 19 peratus dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara adalah disebabkan pengiktirafan terhadap kepentingan Malaysia sebagai rakan dagang utama.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia juga pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia menawarkan komitmen perdagangan dan pelaburan berkualiti.

Tambah beliau, Malaysia juga membuktikan kedudukan penting sebagai negara yang stabil, berdaya saing dan dipercayai dalam rantaian bekalan global.

“Pencapaian ini membuktikan negara-negara membangun seperti Malaysia boleh mendapatkan akses dagangan antarabangsa tanpa perlu tunduk kepada tekanan liberalisasi mutlak.

“Model ini juga memberi contoh kepada negara serantau bahawa ‘red lines’ boleh dipertahankan jika negara jelas dengan nilai, strategi dan komitmen yang ditawarkan,” katanya pada sesi pengumuman mengenai kadar baharu tarif timbal balas AS ke atas Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul menjelaskan, Malaysia tidak mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa dalam rundingan tarif timbal balik dengan AS.

Menurut beliau, rundingan itu mengekalkan keunikan dasar negara termasuk perlindungan kepada industri strategik dan syarat bumiputera.

Jelas beliau, Malaysia dalam rundingan itu malah berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada kompromi terhadap dasar-dasar strategik negara.

Tambah beliau, Malaysia juga teguh dengan perlindungan sektor dan industri yang kritikal kepada ekonomi negara, syarat kemasukan import barangan halal dari AS dan pembukaan sepenuhnya pasaran automotif.

Kata beliau, rundingan itu malah menjadi peluang penting untuk Malaysia menilai semula dasar, proses serta birokrasi sedia ada khususnya berkaitan halangan bukan tarif yang lapuk, bertindih atau tidak lagi relevan.

“Penambahbaikan dipersetujui secara langsung meningkatkan ‘ease of doing business”, menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan menarik pelaburan utama di rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |