Demi Ameera Khan, Jefri Nichol tolak babak panas

10 hours ago 7

PETALING JAYA – Pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol bersedia menolak melakukan adegan panas dalam mana-mana naskhah seperti pernah dilakukan sebelum ini.

Menurut Jefri dalam satu temu bual bersama hos popular Indonesia, Denny Sumargo, keputusan itu diambil selepas mendapatkan pandangan kekasihnya yang juga pempengaruh media sosial terkenal, Ameera Khan.

“Saya mula-mula keliru tapi saya lakukan seperti yang Ameera mahu.

“Ameera nasihat lebih bagus jangan terlibat dengan adegan sebegitu lagi. Ini seperti yang kami pernah bincangkan.

“Tidak bagus sekiranya kita lakukan jika kita sudah ada kekasih terutama apabila melakonkan babak begitu dengan wanita lain di set penggambaran,” katanya.

Dalam masa sama, dia mengakui hanya mahu kehidupan yang lebih tenang terutama selepas menjalin hubungan dengan adik kepada selebriti, Neelofa itu.

“Saya sudah mula penat dengan banyak rutin dilakukan sebelum bercinta.

“Merokok, keluar pada waktu malam dan berhibur di kelab malam antara yang sudah tidak lagi saya lakukan selama saya bercinta dengan Ameera,” ujarnya.

Tegasnya, semua perubahan tersebut dilakukan bukan atas paksaan Ameera sebaliknya atas kesedaran dirinya sendiri.

“Bukan Ameera yang minta tetapi saya sendiri yang merasakan semua itu perlu dikurangkan.

“Saya juga sekarang lebih selesa habiskan masa di rumah berbanding kerap keluar seperti dulu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Jefri pernah menyorot perhatian ramai apabila adegan panasnya dalam filem Jakarta vs Everybody tular dN menjadi sebutan ramai.

Ameera juga mengakui menonton filem tersebut namun memberitahu Jefri menghalangnya melihat beberapa adegan namun menegaskan dia okey sahaja dengan lakonan kekasihnya.

Untuk rekod, hubungan Ameera dan pelakon Ali Topan itu pernah terputus sekitar Oktober 2021 apabila mereka saling berhenti mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Namun, pada penghujung Mac tahun lalu, pasangan itu kembali menjalin hubungan dan sejak itu dilihat semakin terbuka berkongsi detik-detik mesra bersama.

Meskipun berdepan komen sinis sesetengah pihak, Ameera tetap kelihatan tenang dan kini lebih aktif berkongsi kehidupannya bersama kekasih hati dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |