SERDANG – Chery Malaysia menjadi tumpuan utama di Pameran Automotif Malaysia 2025 (MAS2025) menerusi pelancaran rasmi platform Chery Super Hybrid (CSH), satu kejayaan baharu dalam prestasi hibrid hasil penyelidikan dan pembangunan tenaga bersih selama lebih 20 tahun.
Dengan kecekapan terma yang mendahului industri pada 44.5 peratus dan penggunaan bahan api luar biasa dengan jarak perjalanan sehingga 1,200 km, platform CSH direka untuk memberikan prestasi serta kecekapan yang luar biasa merentas semua keadaan pemanduan.
Gabungan kecekapan, prestasi cemerlang dan keselamatan tertinggi dilihat bakal mengangkat CSH untuk menjadi game changer dalam arena hibrid global.
Pelancaran CSH turut menyaksikan Ketua Jurutera Pengurusan Pembangunan Produk dan Pengarah Institut Seni Bina Kenderaan serta Pra-Penyelidikan di Chery Automobile Co., Ltd, Dr. David Xianqiang Lu berkongsi perjalanan inovasi jenama automotif berkenaan.

Selain itu, pengunjung MAS2025 berpeluang menyaksikan pandangan pertama eksklusif model Tiggo Cross, iaitu ahli keluarga Tiggo yang paling kompak setakat ini di Malaysia, yang mana lebih sejuta unit model berkenaan telah dieksport di seluruh dunia.
Bermula 8 Mei, Chery Malaysia telah membuka pendaftaran minat secara rasmi di www.chery.my.
Melangkaui kenderaan konvensional, pameran Chery turut melibatkan konsep kereta terbang autonominya, yang dibangunkan dengan kerjasama rakan kongsi teknologi penerbangan.
Direka untuk berlepas secara menegak dan perjalanan bandar jarak dekat, prototaip itu mencerminkan cita-cita Chery untuk menjadi peneraju dalam mobiliti udara bandar.

Selain itu, Chery memperlihatkan kejayaannya dalam penyepaduan ekosistem dipacu kecerdasan buatan (AI), yang mana pelawat boleh bertemu dengan robot humanoid AiMOGA, iaitu robot AI yang dibangunkan secara dalaman oleh Chery, bersama-sama dengan haiwan peliharaan robotik, kedua-duanya direka untuk menjadi penghibur dan pembantu.
Kedua-duanya mempamerkan keupayaan jenama itu dalam penyepaduan AI dan emosi robotik ke dalam mobiliti masa depan. – KOSMO! ONLINE