PUTRAJAYA – Sekali lagi nama terkait dengan isu curang kononnya ada ‘orang ketiga’ punca perceraian dengan Fazura, pelakon Fattah Amin mengakui segelintir pihak memang sengaja mahu mencalarkan reputasinya dengan cerita palsu yang membawa kepada fitnah.
Menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 35, bersama pasukan pengurusannya kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkaitan.
“Ya, memang ada pihak yang cuba nak mencalarkan nama dan reputasi saya. Ada peminat yang maklumkan mengenai perkara itu. Tapi saya tak takut, negara kita ada undang-undang.
“Mengenai cerita palsu atau fitnah itu, pihak pengurusan saya akan gunakan saluran undang-undang. Sebenarnya ketika ini memang sedang diuruskan,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025), malam tadi.
Fattah yang membawa pulang trofi Selebriti Maskulin Terhangat pada majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut menyifatkan situasi dilalui sebagai lumrah penggiat seni.
“Kesal? Saya anggap ini lumrah sebagai selebriti. Kita tak boleh harap 10 atau 15 tahun dalam industri ini semuanya positif.
“Ada masa, ada individu yang tak senang tengok kejayaan orang lain, cuma saya takkan terlalu fokus pada benda-benda tu,” ujarnya.
Bagi bapa kepada seorang anak itu, keutamaan kini adalah terus memberikan yang terbaik dalam kerjaya selain menjaga hubungan dengan peminat.
Fattah juga akan memastikan kredibilitinya tidak tercalar dengan permainan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah.
“Saya akan terus bekerja. Benda-benda yang tak betul ini, kita sudah serahkan kepada pengurusan dan undang-undang.
“Kalau cerita-cerita macam ini mula mengganggu kerjaya seni saya, memang perlu ambil tindakan tegas,” katanya.
Mengenai kemenangan pada majlis pengiktirafan bersandarkan undian awam, pelakon filem Trinil itu bersyukur masih meraih kepercayaan ramai.
“Terima kasih kepada mereka yang mengundi saya. Dalam industri ini kita umpama peniaga dan peminat adalah pembeli, jadi kita kena pastikan jual produk yang bagus.
“Apa pun semua yang berada dalam kategori sama mempunyai keistimewaan masing-masing. Saya juga anggap mereka abang-abang saya dalam industri,” kongsinya.
Baru-baru ini kenbali tular dakwaan kononnya punca perceraiannya dengan aktres, Nur Fazura disebabkan kehadiran orang ketiga.
Fattah dan Nur Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, namun ikatan mereka berakhir pada pada 7 Oktober 2024.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya, 5 tahun. – KOSMO! ONLINE