‘Bukan setiap hari kongsi foto anak, risau penyakit ain’

3 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Risau penangan penyakit ain, penyanyi dan pelakon Nabila Razali mengakui lebih berhati-hati memuat naik foto anak lelakinya, Nik Muhammad Nik Iruwan dalam media sosial.

Pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali, 33, itu berkata, kerisauan dengan penyakit ain masih membelenggu dirinya sehingga hari ini namun tetap berkongsi foto anaknya demi memenuhi permintaan peminat.

“Ya, sehingga sekarang masih ada kerisauan itu setiap kali memuat naik foto anak.

“Sebelum ini, saya kongsi gambar kerana mahu menunaikan permintaan peminat. Rasa tidak elok pula biarkan peminat tertunggu-tunggu.

“Tapi saya memilih bila nak berkongsi, bukan setiap hari saya muat baik konten tentang anak,” katanya kepada HibGlam pada sidang media siri mini drama Mcdonalds, Senyuman di sini, hari ini.

Meski cuba mengelak, dia bagaimanapun sedar bahawa penyakit ain sukar untuk ditepis dan hanya mampu memohon perlindungan daripada Tuhan.

“Kadang-kadang saya kongsi tetapi penyakit ain itu memang sukar juga nak elak. Niat orang kita memang tidak tahu.

“Kita hanya mampu berdoa supaya mereka jadikan foto yang saya kongsi sebagai tatapan sahaja. Tiada niat untuk riak atau menunjuk,” ujarnya.

Ditanya sama ada mahu membuka akaun media sosial untuk anak, Nabila tidak menolak kemungkinan tersebut namun bukan dalam tempoh terdekat.

“Buat masa sekarang, saya masih belum terfikir lagi kerana mahu menjaga privasi anak dan keluarga kecil saya.

“Kalau dah sampai masa nanti, saya akan buka akaun Instagram untuk dia,” jelasnya.

Terdahulu, Nabila akhirnya mendedahkan wajah putera sulungnya sempena majlis akikah dan sambutan Hari Raya Aidiladha di Kota Bharu, Kelantan pada Jun lalu.

Nabila yang mendirikan rumah tangga dengan Nik Iruwan Nik Izani pada Disember 2023 selamat melahirkan anak lelaki sulungnya pada 23 Disember 2024 di sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |