Blok ASEAN bukti keupayaan jadi platform penyelesaian krisis

1 week ago 13

CYBERJAYA- Jalinan kerjasama yang terjalin dalam blok ASEAN bukan sahaja dilihat sebagai simbol kerjasama antara negara serantau, sebaliknya menjadi platform berkesan dalam menyelesaikan krisis dan memupuk keamanan di Asia Tenggara.

Berucap sempena sambutan Hari ASEAN 2025, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengimbau kembali sejarah penubuhan blok itu pada 1967 yang mana dunia dilanda persaingan kuasa besar dan negara-negara baharu merdeka di rantau itu berdepan kerentanan.

Katanya, lima negara iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand mengambil langkah berani berhimpun di Bangkok dengan berikrar mengemudi cabaran dunia bersama.

“ASEAN lahir dalam dunia yang rapuh pasca perang, sebagai satu eksperimen berani untuk membawa damai dan kerjasama,” katanya hari ini.

Menurut beliau, sejak itu ASEAN berkembang menjadi organisasi unik dengan kepelbagaian yang menjadi penanda aras baharu dalam tadbir urus global.

Katanya, Malaysia sentiasa menempatkan ASEAN sebagai teras diplomasi luar negara melalui semangat konsensus dan matlamat bersama demi Asia Tenggara yang inklusif serta lestari.

Menjelang pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045, Mohamad menegaskan, pelan hala tuju 20 tahun itu akan membentuk rantau yang lebih berdaya tahan, inovatif dan berpusatkan rakyat.

Dalam pada itu, Mohamad juga akan mengadakan lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 September depan bagi membincangkan perkembangan politik terkini negara itu sebelum menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan pada Oktober depan.

Mohamad berkata, lawatan itu akan dilakukan bersama rakan sejawat dari Thailand, Indonesia dan Filipina bagi membincangkan perkembangan politik terkini negara itu.

Jelasnya, langkah membawa ketiga-tiga negara anggota itu adalah bagi memastikan kesinambungan usaha ASEAN terhadap isu Myanmar, khususnya memandangkan Filipina bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2026. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |