PETALING JAYA – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi projek ‘Memacu Pertanian Lestari’ yang dilancarkan hari ini di Pusat Penang 2030, Paya Keladi.
Bernas menerusi kenyataan berkata, pelancarannya di Pusat Penang 2030, Paya Keladi itu sekali gus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian industri padi negara.
“Inisiatif berkenaan memperkenalkan penggunaan burung pungguk jelapang (tyto alba javanica) sebagai agen kawalan biologi semula jadi bagi mengatasi masalah tikus sawah antara ancaman utama kepada hasil padi petani kecil di Malaysia.
“Projek kerjasama bersama USM melalui Barn Owl and Rodent Research Group (BORG), Pusat Pengajian Sains Kajihayat ini ditaja sepenuhnya oleh GlobalGiving, organisasi antarabangsa yang menyokong pembangunan mampan seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Penyelidik dan Penyelaras BORG, Dr. Hasber Salim berkata, projek berkenaan bukti bagaimana pendekatan berasaskan ekologi boleh menggantikan penggunaan racun tikus yang bertoksik dan berisiko tinggi kepada manusia, haiwan liar dan alam sekitar.
“Kami amat berterima kasih kepada GlobalGiving atas kepercayaan dan sokongan dana yang telah diberikan sepenuhnya kepada projek ini.
“Projek ini memfokuskan kepada kawasan jelapang padi khususnya membantu golongan petani B40 ke arah amalan pertanian yang lebih mesra alam dan mampan,” ujarnya.
Ketua Jabatan Pengurusan Ladang, Mohd Zakri Zulkafli, berkata, Bernas memainkan peranan penting dalam pelaksanaan lapangan, termasuk logistik, pengagihan 20 unit kotak sarang burung pungguk kepada pesawah terpilih dan pengurusan kempen kesedaran komuniti.
“Kami komited menyokong usaha inovatif ini kerana ia seiring dengan peranan Bernas sebagai pemegang taruh utama industri beras negara.
“Program rintis ini berpotensi menjadi model alternatif kawalan perosak sawah padi yang mesra alam dan selamat, selaras dengan agenda Bernas dalam memastikan kelangsungan industri beras negara serta tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE