MUAR – Seorang pemandu prebet sapu dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang gadis berusia 15 tahun di sebuah rumah inap desa di Batu Pahat, akhir bulan lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Goh Sek Loong, 46, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Sejurus dibawa keluar, lelaki yang juga seorang duda itu ‘dikutip’ pasukan polis dari Kuala Lumpur untuk didakwa atas pertuduhan merogol gadis yang sama yang dilaporkan hilang di Kepong, Kuala Lumpur bulan lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja yang juga pelajar berusia 15 tahun di sebuah inap desa di Batu Pahat, pada waktu malam, 26 Julai lalu.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, bapa mangsa menerima panggilan polis Batu Pahat memaklumkan anak perempuannya yang hilang pada 23 Julai lalu ditemui empat hari kemudian.
Laporan polis dibuat kerana bapa mangsa mengesyaki anaknya dirogol tertuduh dan siasatan mendapati, remaja itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) tertuduh selepas dihantar oleh datuknya di sebuah sekolah di ibu kota.
Tertuduh membawa mangsa ke sebuah inap desa di Batu Pahat. Semasa di inap desa, tertuduh melihat mangsa mengelar tangan kerana tertekan sebelum mereka melakukan hubungan terlarang.
Siasatan juga mendapati, tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan oleh pasukan perubatan mendapati ada kesan koyakan lama.
Sementara itu, ketika mengemukakan rayuan, tertuduh beberapa kali menangis sambil memohon maaf kepada mahkamah atas ketelanjurannya melakukan perbuatan itu.
“Saya mohon mahkamah beri peluang untuk berubah. Saya menyesal dan ini kesalahan pertama saya lakukan,” katanya.
Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai hukuman penjara.-KOSMO! ONLINE