Berdosa tinggalkan Mekah tanpa tawaf wada

22 hours ago 5

MEKAH – Pelaksanaan tawaf wada adalah wajib dilakukan sebelum meninggalkan Kota Mekah oleh para jemaah haji dan berdosa selain perlu membayar dam berupa seekor kambing sekiranya ditinggalkan.

Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, tawaf wada adalah tawaf selamat tinggal berdasarkan daripada hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang akhir amalan atau pekerjaan yang perlu dilakukan jemaah sebelum berangkat meninggalkan Mekah.

“Mengikut pandangan Imam Syafie adalah berdosa dan dikenakan dam terutamanya bagi mereka yang menunaikan haji. Walaupun terdapat perselisihan pendapat, tetapi bagi TH yang mengguna pakai Resolusi Muzakarah Haji, jemaah haji Malaysia adalah diwajibkan untuk melakukan tawah wada.

“Memandangkan ramai dalam kalangan jemaah kita ini yang kali pertama datang dan kita datang dari jauh selain kita mungkin tak datang lagi selepas ini. Jadi sebab itu adalah sangat penting untuk jemaah melakukan tawaf wada,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ujar beliau, bagaimanapun terdapat keringanan kepada wanita yang didatangi haid apabila tidak diwajibkan untuk melaksanakan tawaf wada.

“Jemaah yang sakit dan uzur pun memang ada pengecualian dan bagi jemaah yang tiada halangan perlu membayar dam seekor kambing jika ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, tawaf wada perlu dilaksanakan paling lewat kira-kira lapan jam sebelum bertolak.

“Jadi dalam keadaan biasa, maknanya dalam jadual yang dikeluarkan oleh pihak maktab, biasanya anggaran dalam sekitar empat ke lima jam, namun bagi maksimum empat jam sebelum bertolak, mereka perlu melaksanakan tawaf tersebut.

“Jika lebih, mereka kena buat lagi sekali dari tempoh masa yang ditetapkan. Lebih awal itu tidak digalakkan. Sebab ia merupakan amalan yang terakhir. Jadi apabila mereka selesai melaksanakan tawaf wada, maka mereka perlu meninggalkan Tanah Suci Mekah,” katanya.

Selain itu, jelas Shahrin, pihak bimbingan haji juga akan mengadakan taklimat ataupun sesi ulang kaji untuk pelaksanaan tawaf wada.

“Setelah selesai urusan haji, rukun dan wajib haji, satu lagi tanggungjawab ataupun amalan ibadah yang perlu dilaksanakan jemaah haji, sama ada yang akan balik terus melalui Jeddah ke Malaysia ataupun yang akan pergi ke Madinah, mereka perlu menyempurnakan atau melakukan tawaf wada.

“Tawaf wada ini boleh dilaksanakan tanpa memakai ihram, maknanya dengan pakaian biasa bagi lelaki. Mereka juga dibenarkan untuk melakukan tawaf sebanyak tujuh pusingan dengan niat tawaf wada. Ini merupakan penutup ataupun ibadah yang terakhirlah akan dilaksanakan jemaah sebelum berangkat pulang ke Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |