Bekas Editor URTV, Rosli Manah kena jangkitan kuman pada otak

15 hours ago 6

KAJANG – Bekas wartawan hiburan Kumpulan Utusan, Mohd. Rosli Manah atau lebih dikenali sebagai Che Li, kini berdepan ujian berat apabila disahkan mengalami jangkitan kuman pada otak.

 Rosli, 57, yang juga menderita penyakit diabetes sejak tujuh tahun lalu sedang dirawat di Hospital Kajang sejak lebih seminggu lalu.

Isterinya Asma Ghani, 51, berkata, tahap kesihatan suaminya semakin merosot sejak kebelakangan ini akibat diabetes dan seterusnya melarat sehingga mengalami jangkitan kuman pada otak.

Terdahulu, Rosli yang mesra disapa Che Li menerima kunjungan Presiden, Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez dan penyanyi Rozita Rohaizad.

Turut melawat dan memberi sumbangan ialah Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang diwakili timbalan presidennya, Niezam Abdullah dan bendahari persatuan itu, Raja Nurfatimah Mawar Raja Mohamed.

MEWAKILI WHAM, Niezam dan Raja Nurfatimah sempat menziarah Che Li di Hospital Kajang, semalam.

Tambah Asma, doktor telah melakukan dua kali pembedahan bagi mengambil sampel air tulang belakang bagi mengenal pasti punca jangkitan itu.

Jika kesihatan Che Li tidak pulih, pembedahan seterusnya perlu dilakukan namun berkemungkinan memerlukan kos tinggi.

Menurut Asma lagi, selepas meninggalkan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan mengambil tawaran skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS), suaminya bekerja menjual nasi berlauk dan pemandu e-hailing sebagai sumber pendapatan. Selepas bertambah buruk merosot, Rosli tidak mampu lagi bekerja seperti biasa.

“Sewaktu keadaannya kesihatannya tidak baik dia hanya berehat di rumah. Hidup kami banyak bergantung kepada anak-anak kerana saya juga tidak bekerja,” ujar Asma yang memiliki tiga anak lelaki berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Sementara itu Datuk Freddie Fernandez berkata, Rosli banyak menyumbang kepada industri hiburan melalui penulisannya.

“Biarpun Rosli bukan ahli Karyawan tetapi peranannya membatu persatuan dan industri hiburan amat tinggi nilainya. Karyawan akan cuba bantu, selain Rosli begitu mana-mana wartawan hiburan yang memerlukan bantuan dengan menganjurkan acara dalam usaha mengumpul dana untuk yang memerlukan,” jelasnya.

Sementara itu, Niezam turut menyifatkan penglibatan Rosli selama hampir 30 tahun dalam bidang kewartawanan memberi makna yang besar terutama kepada indistri seni dan hiburan negara.

“Sumbangan Rosli menerusi ruangan popular Kacak Bergaya dalam Mingguan Malaysia dan peranannya sebagai editor majalah URTV serta Mangga sangat besar. Rosli sentiasa menyokong apa jua acara berkaitan industri seni,” katanya.

Atas rasa keprihatinan, WHAM meminta mana-mana artis atau selebriti yang pernah bekerjasama dengan Rosli agar memberi sokongan dengan hadir melawatnya, setidak-tidaknya mampu memberi keceriaan dalam keadaan Che Li diuji dengan kesakitan.

Selain menjadi wartawan mahkamah dan hiburan akhbar Utusan Malaysia, Rosli juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Editor URTV dan Editor Mangga di Utusan Karya Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah meluangkan masa menziarahi sambil mengenang jasa Rosli yang banyak menyokong kerjaya anaknya, Dafi ketika penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5) pada 2007. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |