KUALA LUMPUR – Meskipun belum pasti beraksi di Sukan SEA Bangkok hujung tahun ini, Muhammad Azeem Fahmi tetap menjadikan seteru dari Thailand, Puripol Boonson sebagai pencabar utama yang perlu ditewaskan dalam usaha bergelar raja pecut Asia Tenggara.
Bagi Azeem, tiga kekalahan berturut-turut kepada pelari sensasi itu bukan satu alasan untuk tunduk, sebaliknya dijadikan pembakar semangat untuk terus mengejar detik terbaik memecah halangan 10 saat (s).
“Itu merupakan satu persaingan yang sihat. Kita tahu sebagai atlet, memang akan wujud persaingan terutama dengan atlet dari negara jiran dan sebagainya. Bagi saya, Puripol adalah atlet bertaraf dunia.
“Saya tidak menafikan perkara itu. Dia memang seorang atlet yang hebat dan sangat konsisten,” katanya.
Azeem, pemegang rekod kebangsaan 100 meter dengan catatan 10.09s, mengakui Puripol berada dalam prestasi terbaik ketika ini dengan catatan konsisten bawah 10.20s, namun tetap yakin dengan keupayaannya untuk memberi saingan sengit jika bertemu semula di trek.
“Dia sering mencatat masa 10.2s dan juga 10.1s. Tapi saya tidak meletakkan dia di atas atau apa-apa. Cuma, bagi saya, dia tetap menjadi penanda aras utama untuk ditewaskan terutama dalam kalangan pelari Asia Tenggara.
“Tapi di peringkat Asia, kita juga ada (Hiroki) Yanagita. Kedua-duanya pernah menewaskan saya di Sukan Universiti Dunia (WUG). Tiada yang mustahil sebab saya pernah menewaskan Yanagita, saya juga hampir menewaskan Puripol. Saya tahu kebolehan diri saya,” tambahnya.
Azeem berkata, semuanya bergantung pada masa yang tepat dan menganggap persaingan itu sebagai satu proses pembelajaran meskipun banyak kali menentang Puripol dan tewas semua perlumbaan tersebut dengan jurang kecil sekitar 0.1s.
“Jelas dia kini dalam prestasi terbaik, sedangkan saya belum lagi berada di tahap terbaik. Jadi, kami masih bersaing untuk menjadi pelari Asia Tenggara pertama berjaya pecah halangan 10s,” jelasnya.
Tekanan bukan faktor utama persaingan bersama Puripol, sebaliknya Azeem menumpukan sepenuhnya kepada peningkatan diri dan perancangan jangka panjang bersama jurulatihnya di Amerika Syarikat, Ken Harnden.
“Bagi saya, tiada tekanan. Dia tetap salah seorang penanda aras utama. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah fokus pada diri sendiri, lakukan yang terbaik dan kekal fokus,” katanya. – KOSMO! ONLINE