AMPANG JAYA – Seorang wanita warga emas yang ditemui maut di dalam rumahnya di Pandan Indah, di sini, semalam didakwa pernah dipukul oleh anak bongsunya sehingga dimasukkan ke hospital.
Mendedahkan perkara itu, seorang jiran dikenali Asyraf, 32, mendakwa, dia sendiri pernah melihat perkara itu berlaku di hadapannya.
Menurutnya, dia dan anak arwah mempunyai hubungan yang rapat sebelum ini, namun semuanya berubah secara tiba-tiba sejak pertengahan tahun lalu.
“Sejak daripada itu, perangai anak arwah mula berubah, dia selalu maki hamun. Ada satu hari, saya pernah tegur dia sebab maki arwah guna perkataan tak senonoh.
“Selepas itu, dia terus pukul arwah sehingga kena panggil ambulans untuk dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, semalam.
Asyraf mendakwa, dia yang sudah berjiran dengan arwah sejak 30 tahun lalu juga jarang melihat mereka dua beranak keluar pada siang hari.
“Tengah hari biasanya dia (anak) arwah mesti tidur. Selalunya dia akan bawa mak dia keluar pukul 8 malam hingga 2 pagi. Saya tak pasti mereka pergi mana.
“Biasanya, setiap malam saya akan dengar dia marah arwah. Tapi saya dah tak dengar perkara itu beberapa hari sebelum Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan busuk yang menghantui penduduk sejak Isnin lalu, terbongkar susulan penemuan mayat seorang wanita warga emas di sebuah rumah teres dua tingkat di Pandan Indah, di sini, kelmarin.
Mangsa yang berusia 76 tahun itu ditemui penduduk dalam keadaan terbaring di lantai serta ditutupi dengan kain kira-kira pukul 6.30 petang.
Asyraf dilaporkan berkata, perkara itu disedari oleh keluarganya selepas pulang dari kampung sempena cuti Hari Raya Aidiladha sebelum dia dan bapanya nekad memeriksa rumah mangsa yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.
Terdahulu, polis memaklumkan, punca kematian wanita warga emas itu masih dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai ‘pending investigation’.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa. – KOSMO! ONLINE