‘Air liur meleleh, sukar telan makanan’

1 week ago 14

PONTIAN – Luluh hati sepasang suami isteri apabila anak sulung yang diharapkan dapat mengubah nasib keluarga pada masa depan kini hanya mampu terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap penyakit disfagia atau kesukaran untuk menelan makanan.

Penderitaan Mohd. Azizul Khalid, 27, bermula selepas dia terbabit kemalangan pada 2016 ketika berusia 18 tahun yang mengakibatkan tulang rusuk patah selain disahkan mengalami masalah degupan jantung laju.

Menurut ibunya, Rokiah Mohd. Khalid, 54, kemalangan tersebut menyebabkan anak sulung daripada dua beradik itu gagal untuk menyambung pelajaran ke Kolej Tingkatan Enam di Pontian.

“Selepas kemalangan sembilan tahun lalu, Mohd. Azizul boleh berjalan, makan seperti ­biasa tetapi berat badannya susut daripada 90 kilogram (kg) kepada 48 kg.

“Doktor juga mengesahkan anak saya menghidap penyakit radang esofagus disebabkan kahak dan air liur yang berterusan keluar dari mulutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Yunos, Kampung Dalam Pontian di sini.

Bercerita lanjut, Rokiah memberitahu, sejak tahun lalu, Mohd. Azizul sudah tidak mampu berjalan dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Pontian selepas muka­nya berubah menjadi ­kuning sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

“Ujian demi ujian menimpa Mohd. Azizul sehingga dia di­serang disfagia atau penyakit susah untuk menelan makanan. Dia kini bergantung kepada susu formula sebagai makanan ­utama selain perlu memakai lampin pakai buang kerana tidak boleh ke tandas,” katanya.

Selain menjaga Mohd. Azizul, Rokiah berkata, dia sekeluarga turut menjaga ibu mentua, Sa’diah Sirun, 89, yang uzur dan adiknya, Norizan Nalam yang menghadapi masalah kesihatan.

Jelasnya, mereka sekeluarga hanya bergantung hidup dengan wang pencen suaminya, Khalid Nalam, 63, pesara Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) pendapatan bulanan kira-kira RM800.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh meng­hubungi Rokiah di talian 017-949 9521 atau menyerahkan sumbangan melalui akaun Bank Islam (01108029376148).

Read Entire Article
Pertanian | | | |