Abang Don sanggup berkorban demi anak penyu

4 hours ago 3

MERSING – Tanyalah apa sahaja persoalan mengenai penyu, anak-anak penyu serta habitat haiwan ini, pastinya pengusaha tapak perkhemahan Sekuci di Pantai Bunut, Pulau Tioman, Mohd. Don Mustafa, 55, menjawabnya dengan pencirian yang cukup lengkap dengan penuh minat.

Ternyata pengetahuan, kemahiran dan pengalamannya selama lebih enam tahun dalam bidang tersebut sejak mula bekerja dengan sebuah syarikat swasta yang dimiliki oleh usahawan Eropah dan kemudian mengusahakan sendiri di pantai berkenaan telah mematangkannya untuk terus bersemangat memulihara masa depan anak-anak penyu.

Hampir 24 jam masa anak jati pulau ini yang lebih dikenali sebagai Abang Don sentiasa terisi di pusat perkhemahan tersebut yang menempatkan dua buah bangsal kecil yang menempatkan telur-telur yang baru ditanam di dalam pasir pantai dan ditanda dengan beberapa papan tanda menunjukkan tarikh serta sebuah lagi bangsal yang menempatkan anak-anak penyu yang baru menetas berenang-renang di dalam beberapa bekas khas berisi air dan batu.

Ketara digambarkan sifat seorang bapa yang penuh kasih sayang dicurahkan kepada anak-anak penyu itu lantas memanggilnya ‘budak-budak’ dan anak-anak penyu itu juga seolah-olah sudah memahami percakapannya.

Ini dapat dilihat ketika Mohd Don memujuk dan mengarahkan seekor anak penyu bernama Jacko yang berusia sembilan bulan untuk membetulkan kedudukan tangannya agar mudah diangkat untuk sebuah sesi fotografi.

Begitu juga aksinya ketika mengangkat seekor lagi anak penyu berusia tujuh bulan yang dikenali sebagai Aisya yang juga merupakan salah satu binatang kesayangannya sehingga terluah rasa bimbangnya untuk melepaskannya di lautan pada masa depan.

“Saya tidak tahu bagaimana nak lepaskan Aisya nanti kerana anak penyu ini pernah saya lepaskan bersama 160 ekor anak penyu yang lain tahun lepas  sambil disaksikan beberapa pelancong dari lima buah negara, tetapi ia kembali ke arah saya.

“Ketika itu dalam pukul 7 malam, saya ternampak satu benda timbul dan terapung di permukaan laut, saya dapati ia adalah seekor anak penyu sedang berenang menuju ke arah saya, lantas saya menjerit kepadanya ‘kalau Aisya nak selamat, jom ikut saya balik’, akhirnya anak penyu itu berenang terselit dalam kocek seluar lantas saya bawa naik untuk di pelihara di sini,” katanya ketika ditemui di pusat perkhemahan tersebut baru-baru ini.

Mohd. Don berkata, hatinya tidak keruan sehingga membuatkan beliau tidak cukup tidur memikirkan untung nasib anak-anak penyu yang sudah cukup matang itu kembali ke lautan dan pastinya perlepasan itu bukan sahaja diiringi dengan doa, tetapi mengalirnya air mata sebagai seorang ‘ayah’ kepada ‘budak-budak’ berkenaan.

Pengusaha yang tidak mengejar keuntungan atas ini­siatif yang dilaksanakannya atas niat sukarela itu sentiasa mendapat sokongan dan bantuan serta penajaan daripada pelbagai pihak untuk kelangsungan projek berkenaan.

Sebagai jiran berdekatan, Berjaya Tioman Resort sentiasa memberi sumbangan daripada aspek keperluan dapur pengusaha ini dan sebagai menghargai kerjasama tersebut, Mohd. Don juga akan membawa anak-anak penyu yang sudah cukup matang ke resort berkenaan untuk memberikan pengalaman menarik kepada pelancong melepaskannya ke lautan.

Kerjasama ini sekali gus akan membantu meningkatkan ke­sedaran dalam kalangan pelancong khususnya golongan muda tentang pemuliharaan anak-anak penyu pada masa depan.

Ditanya tentang perbelanjaan harian anak-anak penyu ini, beliau akan menggunakan duit sumbangan untuk membeli hasil laut segar.

“Anak penyu di sini tidak diberikan sayur-sayuran kerana secara logiknya, haiwan ini akan kembali ke lautan, pastinya makanannya juga terdiri daripada udang dan sotong kecil, jadi dalam sehari saya memerlukan perbelanjaan sehingga RM50 untuk mendapatkan hasil laut segar yang ditangkap oleh nelayan. Kami tidak membelinya di pasar.

“Ada kalanya perbelanjaan boleh mencecah sehingga RM200 sehari ketika terdapat banyak anak-anak penyu di sini dan sekiranya dana kehabisan, saya dan abang akan turun ke laut menjala untuk menangkap hasil laut untuk membolehkan budak budak ini tidak putus bekalan makanan,” jelasnya.

Bersandarkan kasih sayang dan kecintaannya terhadap haiwan ini, Mohd. Don juga diberi satu anugerah yang cukup menerujakan apabila beliau boleh membaca dan membuat satu andaian daripada perubahan alam, kilat, desiran angin pantai, bunyi-bunyian dan perubahan cuaca tentang isyarat awal  bahawa ibu-ibu penyu yang berada di lautan lepas di seluruh sedang dalam perjalanan menuju ke Pantai Bunut untuk bertelur.

Beliau sentiasa menantikan kedatangan tiga ibu penyu yang digelarnya, Molina, Betty dan Ros untuk singgah dalam musim bertelur dari bulan April hingga Ogos setiap tahun.

Terubat rindu Mohd. Don terhadap haiwan unik ini dengan melihatnya dari jauh aksi ibu penyu ini bertelur dan bermain seketika di ‘kampung halamannya’ sebelum meninggalkan telur-telur di pantai berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |