TEL AVIV – Iran melancarkan ratusan peluru berpandu balistik ke arah Israel menyebabkan tujuh orang cedera malam semalam, lapor portal berita Middle East Eye.
Tehran menganggap serangan itu sebagai permulaan tindak balas yang menghancurkan selepas Israel melancarkan serangan ke atas Iran .
“Operasi tindak balas tegas terhadap serangan ganas rejim Zionis telah bermula (susulan) pelancaran ratusan peluru berpandu pelbagai jenis ke atas wilayah yang diduduki (Israel),” lapor agensi berita rasmi Iran, Irna.
Kilauan cahaya oren terang menerangi langit di Tel Aviv ketika sistem pertahanan udara Israel menjatuhkan sejumlah peluru berpandu yang menyerang bandar itu.
Kebakaran dan kepulan asap dapat dilihat di kawasan Tel Aviv, manakala letupan turut dilaporkan di Baitulmaqdis.
Sekurang-kurangnya tujuh peluru berpandu Iran berjaya mengenai kawasan metropolitan Tel Aviv, lapor portal berita Israel, Hayom.
Ketua perkhidmatan kecemasan Israel memberitahu wartawan bahawa tujuh orang cedera susulan serangan di sempadan Tel Aviv dan bandar Ramat Gan.
Ia berlaku selepas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, serangan maut Israel ke atas negaranya akan membawa negara haram itu mengalami kehancuran.
“Angkatan bersenjata Republik Islam akan memberikan tamparan hebat ke atas musuh jahat ini,” kata Khamenei dalam ucapan di televisyen.
Sebelum serangan peluru berpandu itu, Iran melancarkan lebih 100 dron ke arah Israel, beberapa jam selepas Tel Aviv mengebom beberapa lokasi di negara tersebut termasuk kemudahan nuklear dan membunuh komander kanan tentera dan beberapa saintisnya. – AGENSI