SEPERTI manusia yang penuh dengan kisah kekejaman si bapa, alam haiwan juga tidak terkecuali daripada bapa-bapa yang bersifat kejam dan tidak bertanggungjawab sehingga sanggup memakan anaknya sendiri selain membebankan si ibu untuk mencari makanan. Bagaimanapun, sifat sebegitu sudah tertanam secara fitrah dalam diri haiwan tersebut dan dari generasi ke generasi perkara sama akan dilakukan dalam memenuhi kitaran hidup haiwan itu.
Pada minggu ini, sempena HarI Bapa hari ini, CitaRasa kongsikan lima bapa haiwan paling teruk di dunia seperti
dikongsikan oleh portal Mentalfloss.
1- Singa
SEEKOR singa jantan yang baru menjadi ketua kawanan biasanya akan membunuh semua anak singa yang dilahirkan oleh ketua sebelumnya. Itu bukan sahaja satu-satunya sifat buruk singa jantan.
Sebenarnya yang menjadikan singa sebagai bapa yang tidak baik adalah gabungan sifat tamak dan kemalasan.
Singa jantan menghabiskan sebahagian besar harinya dengan berbaring di tempat teduh, menunggu salah seekor pasangannya membawa pulang makanan.
Singa betina yang melakukan sebahagian besar aktiviti memburu dan hampir semua tugas keibubapaan. Sebaliknya, tugas singa jantan hanyalah melindungi wilayahnya daripada serangan kawanan lain dan pemangsa seperti dubuk.
Sebaik sahaja singa betina membawa pulang hasil buruannya, singa jantan akan menjadi yang pertama makan dan selalunya hanya meninggalkan sisa-sisa untuk ahli kawanan yang lain termasuk pasangan dan anak-anaknya yang masih kecil.
2- Beruang grizzly
BERUANG grizzly jantan sangat kejam kerana sanggup makan anaknya sendiri bukan kerana terdesak dalam kelaparan tetapi ia adalah sifat semula jadinya yang ganas.
Haiwan ini sangat melindungi kawasannya yang boleh mencecah kepanjangan sehingga 2,414 kilometer.
Ia juga merupakan pemburu oportunis, sanggup membunuh dan memakan apa sahaja yang memasuki kawasan itu. Ini termasuklah anak beruang, tidak mengira anak biologinya atau tidak.
Lebih kejam lagi, beruang jantan juga akan membunuh anak-anak beruang untuk memaksa si ibu kembali dan mengawan dengannya.
3- Ikan bass
DI dunia akuatik juga terdapat bapa paling jahat di dunia antaranya ialah ikan bass jantan yang cenderung untuk memakan anak sendiri.
Dalam kes ikan bass, ini biasanya berlaku selepas kebanyakan anak ikan yang baru menetas telah berenang pergi dan hanya tinggal beberapa ekor yang ketinggalan di situ.
Si ayah tiba-tiba berhenti melindungi anak-anaknya daripada pemangsa dan ia sendiri menjadi pemangsa, menelan semua anak yang tertinggal sebagai ganjaran kepada dirinya kerana membantu yang kuat untuk terus hidup.
4- Ikan goby pasir
HAL yang sama dilakukan oleh ikan goby pasir jantan yang sangat komited menjaga anak-anaknya daripada pemangsa tetapi ia akan makan kira-kira satu per tiga daripada keseluruhan telurnya meskipun mempunyai bekalan makanan yang sangat mencukupi.
Menurut pengkaji, ikan goby jantan cenderung makan telur yang paling besar kerana saiz telur yang besar mengambil masa yang lama untuk menetas, sekali gus, si ayah perlu melindungi telur tersebut lebih lama berbanding yang lain. Ini supaya ikan jantan itu boleh cepat-cepat pergi dari situ dan mengawan secepat mungkin dengan ikan betina lain.
5- Pijat pembunuh (assassin bug)
Assassin bug jantan berperanan melindungi telurnya sehingga menetas. Bagaimanapun ia akan menggunakan taktik memakan telur yang berada di bahagian tepi sarang kerana telur-telur ini paling mudah menjadi mangsa penyengat parasit.
Strategi itu tertanam dalam nalurinya sehingga tetap melakukannya walaupun dalam persekitaran yang langsung tiada sebarang ancaman parasit.
Para saintis percaya tingkah laku ini bukan saja bertujuan melindungi daripada parasit yang mungkin ada tetapi juga membekalkan nutrien kepada pijat pembunuh yang tidak dapat keluar mencari makan ketika bertugas menjaga telur.