
- Oleh ADNAN IBRAHIM
- 8 Ogos 2025, 5:02 pm
KLUANG – Sejumlah 5,215 unit peranti dan 13,968 unit cecair rokok elektronik (vape) berjaya dirampas hasil serbuan melalui Operasi Intra Inter Agensi (Op Taring Alpha 3) di Batu Pahat, Yong Peng, Ayer Hitam dan Johor Bahru kelmarin.
Pegawai Pemerintah Batalion ke – 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Simpang Renggam, Superintenden Salehin Suleiman berkata, operasi pada pukul 12 tengahari itu digerakkan bersama-sama Penguatkuasa Majlis Daerah Yong Peng (MDYP), Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) dan Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Cawangan Batu Pahat dan Johor Bahru.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas premis telah berjaya merampas 5,215 unit peranti vape, 13,968 unit cecair vape serta menahan enam warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 39 Tahun.
“Sebanyak enam notis sitaan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke atas semua premis kerana tiada sebarang dokumen peniagaan penjualan cecair dan peranti vape yang sah. Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM 1,219,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Salehin lagi, operasi ini berjaya mengekang aktiviti penyimpanan dan penjualan peranti rokok elektronik (VAPE) disekitar kawasan Batu Pahat, Yong Peng, Ayer Hitam dan Johor Bahru.- KOSMO! ONLINE