KAJANG – Seramai 121 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan di sekitar bandar Kajang dan Sungai Tangkas, di sini hari ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman berkata, operasi bermula pukul 12 tengah hari hingga 2 petang hasil aduan awam yang memaklumkan terdapat ramai pekerja asing bekerja di premis perniagaan sekitar kawasan terbabit.
Katanya, seramai 82 anggota digerakkan ke dua lokasi berkenaan dan melakukan pemeriksaan terhadap 719 individu, terdiri daripada 534 warga asing dan 185 rakyat tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 121 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal lebih masa dan tiada dokumen sah.
“Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Pakistan, Syria dan Sudan melibatkan 121 lelaki dan 12 wanita. Ketika serbuan di Sungai Tangkas, beberapa PATI sempat melarikan diri. Namun kita akan mengambil tindakan susulan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Basri, antara lokasi yang diperiksa termasuk medan selera di Kajang, di mana ada pekerja asing bertindak sebagai tukang masak dan juruwang.
Beliau turut mengingatkan majikan dan warga asing supaya tidak terpedaya dengan ejen yang mendakwa Program Rekalibrasi Tenaga Kerja akan dilaksanakan.
“Pada masa ini, JIM hanya melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang bagi membolehkan mereka yang tinggal lebih masa pulang ke negara asal,” katanya.
Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar undang-undang negara di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kesemua PATI yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE