PETALING JAYA – Dalam usaha memartabatkan karya anak tempatan, 10Star Cinemas mengumumkan akan memperuntukkan sebuah dewan khas bagi tayangan eksklusif filem-filem tempatan di pawagam baharu mereka di pusat beli-belah Hextar World Empire City, Damansara Perdana.
Ketua Pegawai Eksekutif 10Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah berkata, langkah tersebut sebagai satu bentuk komitmen menyokong industri perfileman tanah air yang kian berkembang.
“Daripada lapan dewan yang bakal beroperasi, satu daripadanya akan kami peruntukkan khusus untuk tayangan filem tempatan.
“Inisiatif ini lahir daripada cetusan idea Pengerusi Eksekutif MAA Group Berhad, Tunku Datuk Yaacob Khayra. Kita mahu menyokong filem lokal secara konsisten, bukan sekadar menunggu musim tayangan besar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah Onn, bukan sekadar pendekatan yang diambil berbeza daripada sistem tayangan sedia ada, malah lebih fleksibel dalam pengisian kandungan dewan khas tersebut.
“Berbeza dengan syarat wajib tayang selama 14 hari di pawagam utama, kami akan tayangkan filem baharu yang masuk pasaran, atau tayangan semula filem lama jika tiada naskhah baharu.
“Filem dari festival juga akan diberi ruang kerana kami percaya setiap karya tempatan wajar dinikmati khalayak lebih luas,” ujarnya pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), Hextar World Empire City dengan 10Star Cinemas, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong termasuk pengarah dan filem Impak Maksima 2, Dr. Ahmad Idham.
Mengulas perkembangan industri tempatan, beliau turut mengakui sambutan semakin memberangsangkan, sekali gus menunjukkan filem tempatan tidak lagi dipandang sepi.
“Lihat saja tahun lalu, Mat Kilau dan Sheriff mencetus fenomena. Tahun ini pula muncul Blood Brothers. Ini bukti kukuh filem kita memang ada potensi besar.
“10 Star mahu wujudkan budaya baharu iaitu budaya yang percaya dan beri peluang pada karya sendiri,” tegasnya.
Sebagai pelengkap misi, 10 Star Cinemas turut tampil sebagai pengedar rasmi Impak Maksima 2, menjadikan mereka pawagam tempatan pertama yang tampil mengedarkan filem buatan lokal.
“Filem ini bukan calang-calang. Naskhah terdahulu pernah mencipta fenomena pada tahun 2007. Kami percaya kesinambungannya tetap ada peminat tersendiri,” jelasnya.
Pawagam serba baharu ini dibangunkan dengan kos mencecah RM30 juta, mampu menampung kapasiti 1,500 penonton dalam satu masa dan dijangka menjadi antara kompleks hiburan utama di Lembah Klang. – KOSMO! ONLINE.